LATAR belakang kehidupan yang serba kekurangan sering dianggap sebagai penghalang besar untuk seseorang individu mencipta kejayaan dalam akademik.
Namun, persepsi itu ditepis seorang murid Orang Asli apabila usahanya yang tidak pernah mengenal erti putus asa, membuahkan hasil selepas dinobatkan sebagai Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telanok 2025.
Penerima anugerah tersebut, Mia Sofhia gagal menahan sebak ketika namanya diumumkan sebagai Tokoh Murid dalam majlis rasmi anjuran pihak sekolah baru-baru ini.
BACA LAGI: Lambang kekuatan wanita, sekumpulan remaja tunggang kuda sambil tabik hormat Presiden UAE
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Detik berkenaan bukan sekadar menandakan pencapaian cemerlang dalam pelajaran dan kokurikulum, malah menjadi simbol kejayaan seorang anak yang membesar dalam serba kekurangan.
Mia yang berasal daripada komuniti Orang Asli, membuktikan bahawa kemiskinan bukan alasan untuk berputus asa.
Dengan sokongan keluarga, guru-guru serta keazaman diri yang tinggi, pelajar berkenaan konsisten menunjukkan prestasi membanggakan dalam akademik, di samping aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah.
Sikap disiplin, rendah diri dan kesungguhannya dalam menimba ilmu menjadi antara faktor utama dia dipilih sebagai Tokoh Murid.
Keperibadiannya yang sentiasa menghormati guru, rakan dan warga sekolah lain turut menjadikannya contoh teladan kepada murid-murid lain.
Ucapan tahniah turut mengalir daripada masyarakat yang tersentuh dengan kisah kejayaannya.
"Tahniah Adik Mia, semoga menjadi inspirasi kepada semua pelajar di Malaysia," kata Amira.
"Murid yang pandai patut dihargai pada yang masih kurang jadikan contoh dan semangat yang kuat di masa akan datang, perjuangan baru bermula harap di fasa seterusnya lebih cemerlang dan gemilang banggakan kedua ibu bapa," ujar sazlindameorshaari.
"The way dia genggam tangan dia masa tengok gambar dia terpapar di skrin, Allahu, fly high dik banggakan keluargamu," jelas sitiaishah7770.
Anugerah Tokoh Murid SK Telanok 2025 bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian murid, malah mencerminkan peranan besar pihak sekolah dalam membimbing dan memberi peluang yang adil kepada semua tanpa mengira latar belakang.
Kejayaan Mia Sofhia sekali gus membuka mata masyarakat bahawa anak-anak Orang Asli juga memiliki kemampuan besar untuk cemerlang sekiranya diberi ruang serta bimbingan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
