PENCIPTA kandungan yang terkenal dengan konten nasihat kepada Generasi Z, Madno menarik perhatian warga maya selepas berkongsi bagaimana beliau sebelum ini pernah mengambil alih tanggungjawab kerja rumah sepanjang enam bulan pertama tempoh penyusuan isterinya.
Menurut Madno atau nama sebenarnya Muhammad Noor Zakaria, komitmen itu dibuat bagi memastikan isterinya dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada rutin penyusuan tanpa terbeban dengan tugas harian.
“Dulu, sepanjang isteri saya breastfeeding, saya yang buat semua makanan sejuk beku,” katanya menerusi satu program audio siar yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini.
BACA LAGI: Ibu dua cahaya mata konsisten pam susu hingga anak-anak umur 2 tahun
BACA LAGI: Label item antara 5 tip 'spring cleaning' detoks kediaman, cipta ruang lebih lapang
Menceritakan rutinnya, Madno berkata, setiap Ahad, seawal pukul 7 pagi, beliau akan ke pasar untuk membeli barang dapur sebelum pulang memasak dan menyediakan pek makanan untuk kegunaan pada Isnin hingga Jumaat.
“Memang semua benda saya buat waktu enam bulan pertama breastfeeding itu,” ujarnya.
Madno mengakui, keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan bersama dengan isterinya.
“Saya cakap dekat isteri, ‘kau tak payah buat apa-apa pun tak apa. Kau tolonglah susukan anak aku’.
"Sebab dia (isteri) kerja, saya tak nak bebankan dia,” kongsinya.
Jelasnya, perjanjian mereka mudah iaitu isterinya fokus pada penyusuan, manakala semua tugasan lain diuruskan oleh beliau.
“Enam bulan pertama itu paling mustahak sebab kita nak eksklusifkan (penyusuan),” tambahnya.
Perkongsian itu mendapat pujian ramai yang menganggap tindakan tersebut contoh sokongan pasangan yang praktikal dan matang, terutama dalam tempoh mencabar bagi ibu baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
