TINDAKAN seorang wanita berkongsi momen membawa bapanya pulang ke kampung halaman di India selepas 50 tahun berhijrah ke Malaysia, mengundang sebak dalam kalangan warga maya.
Menerusi perkongsian di Instagram milik wanita dikenali sebagai Nanthini Palanisamy, beliau berkata, itu merupakan pengalaman kali pertama bapanya menaiki kapal terbang.
"Selepas 50 tahun meninggalkan India, akhirnya kami bawa appa pulang.
"Beliau meninggalkan India ketika berusia hanya 17 tahun. Tiada saudara-mara, tiada duit, tidak boleh (cakap) bahasa Melayu yang betul, tiada apa-apa.
"Beliau datang ke Malaysia seorang diri, bekerja apa sahaja pekerjaan yang mampu, membina kehidupan, berkahwin dengan amma dan membesarkan kami seadanya," tulisnya pada Ahad lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir seumur hidup mandi guna pencuci pinggan, pakcik jual belon sebak dapat sabun mandi
Nanthini menjelaskan, bapanya tidak pernah pulang ke tanah kelahirannya bukan kerana tidak mahu, tetapi disebabkan kos penerbangan yang terlalu tinggi.
Selain itu ujarnya, segala pendapatan digunakan untuk memastikan keluarganya di Malaysia mendapat kehidupan lebih baik.
Sehinggalah baru-baru ini, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk membawa bapanya pulang menziarahi kampung halaman.
"Melihat beliau duduk dalam pesawat buat kali pertama, sukar untuk saya gambarkan perasaan itu.
"Cara beliau memegang tangan abang semasa pesawat berlepas. Rasa ingin tahu dan keterujaannya adalah sesuatu yang akan saya hargai sepanjang hayat.
"Appa meninggalkan segalanya dan tidak pernah kembali, hanya untuk membesarkan kami semua, malah tidak pulang semasa pengebumian kakaknya sendiri," katanya menambah, kini tiba masa untuk mereka membalas segala pengorbanan bapanya buat keluarga.
Nanthini turut menzahirkan penghargaan kepada syarikat penerbangan tambang rendah yang mereka naiki, atas peluang yang memungkinkan impian sekeluarga itu menjadi kenyataan.
Perkongsian tersebut turut menarik perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes yang menyifatkan cerita itu sebagai bukti jelas impak sebenar syarikat penerbangannya terhadap kehidupan orang ramai.
Menurutnya, setiap kali berada di lapangan terbang, beliau sering menyaksikan detik seperti itu.
"Penumpang yang akhirnya mampu terbang berjumpa keluarga atau kembali ke tanah kelahiran selepas puluhan tahun," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
