
DALAM dunia perniagaan, masih ramai menganggap perniagaan dari rumah sebagai sesuatu yang kecil, sekadar mengisi masa lapang atau menambah pendapatan sampingan.
Hakikatnya, ramai wanita membuktikan bahawa langkah pertama dari ruang tamu atau dapur rumah mampu membuka jalan ke pasaran antarabangsa.
Bermula dengan modal kecil, kreativiti dan keberanian, usahawan wanita kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Malah, ada yang berjaya menjadikan bisnes dari rumah sebagai jenama bertaraf global, sekali gus mengharumkan nama Malaysia melalui pencapaian anak bangsa.
Bermula secara kecil-kecilan dari rumah, empat wanita ini berjaya membuktikan niat, usaha dan kreativiti mampu mengangkat jenama mereka ke pentas dunia.
1) Padzilah Enda Sulaiman – Telekung Siti Khadijah
Padzilah menunjukkan rekaan terbaharu telekung Siti Khadijah diberi nama Maharani. — Instagram/padzilah_endasulaiman
Pengasas jenama telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman memulakan perniagaan dari rumah di Kajang, Selangor dengan modal sekitar RM10,000.
Walaupun peringkat awal dijual secara tempatan, kisahnya menarik perhatian media dan dimuatkan di televisyen.
Sehingga kini, jenama Siti Khadijah telah berkembang dengan lebih 60 cawangan di Malaysia selain turut dipasarkan di Australia, United Kingdom, Kanada dan Jepun.
Jenama tersebut juga kini memiliki masing-masing sebuah butik fizikal di Singapura dan Indonesia.
2) Jenn Low – Wanderlust + Co
Usahawan kelahiran Seremban ini berjaya mengangkat jenama barang kemas tempatan, Wanderlust + Co ke pentas antarabangsa. — Instagram/jennlow.wco
Usahawan kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Jenn Low berjaya mengangkat jenama barang kemas tempatan, Wanderlust + Co ke pentas antarabangsa dengan kemunculan di hampir 30 negara selain dijual di lebih 400 peruncit global.
Diasaskan pada 2010 dari pangsapurinya di Melbourne, Australia ketika masih bergelar mahasiswa, Jenn melihat peluang untuk menawarkan barang kemas bergaya mewah pada harga berpatutan.
Kini, jenama itu bukan sahaja digemari peminat yang digelar #WCOgirlgang, malah pernah digayakan selebriti antarabangsa seperti Gigi Hadid, Selena Gomez, Jessica Alba dan Kendall Jenner.
Beroperasi dari ibu pejabat di Kuala Lumpur bersama pasukan wanita sepenuhnya, Wanderlust + Co berkembang pesat dengan jualan dalam talian, selain perniagaan borong juga berkembang setiap tahun.
3) Reen Ramzi – Produklega Supplies Sdn. Bhd. (OEM)
Reen ketika membuat lawatan di salah sebuah kilang dekat China. — Instagram/reenramzi
Berasal dari Jeli, Kelantan, Nur Hazreen Mohd Ramzi, 32, membesar dalam keluarga sederhana, dengan bapanya seorang pemandu lori dan ibunya pula suri rumah.
Namun, latar belakang itu tidak menghalang wanita mesra disapa Reen Ramzi tersebut untuk mengejar impian dalam dunia perniagaan.
Sejak kecil menunjukkan minat dalam perniagaan, Reen akhirnya berjaya menubuhkan syarikat pengeluaran produk OEM, Produklega Supplies Sdn. Bhd., yang kini mempunyai kilang.
Kini, syarikatnya mempunyai kilang dan hab di AS termasuk menjalinkan kerjasama dengan kilang di China, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia.
4) Norli Yusop – Cookies By Yusa
Norli (tengah) bersama produknya Yusa Food Sdn Bhd terdiri daripada biskut, keropok dan snek.
Bermula dengan membuat tart dan jem nanas di rumah sejak 2001, Norli Yusop kini berjaya mengangkat jenamanya, Cookies By Yusa ke tahap lebih membanggakan apabila produk keluarannya menembusi pasaran luar negara.
Berbekalkan resipi turun-temurun dan sentuhan inovasi moden, jenama tersebut bukan sahaja mendapat sambutan di dalam negara, malah turut dipasarkan ke Singapura, Brunei dan beberapa negara Timur Tengah.
Bekas eksekutif setiausaha di sebuah syarikat korporat itu juga pernah mengeksport produknya ke 400 cawangan Circle K di Vietnam.
Kejayaan Norli Yusop menjadi bukti bahawa usahawan wanita tempatan berupaya melangkah jauh dengan kecekalan serta strategi pemasaran yang bijak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram