Niat buat roti nak ringankan beban suami, Joanne Huang jadi wanita Asia Tenggara pertama raih World Confectioner of the Year 2025


  • Sukses
  • Jumaat, 12 Dis 2025

Joanne menjadi wanita Asia Tenggara pertama menerima gelaran World Confectioner of the Year 2025. — Agensi

JOANNE Huang tidak pernah menyangka langkah berkecimpung dalam dunia pembuatan pastri lebih sedekad lalu kini membawa namanya ke pentas antarabangsa. 

Pada awalnya, beliau mula belajar membakar bagi meringankan beban kerja suaminya, Forest Lim, 49, yang juga seorang pembuat roti.

Namun usaha Joanne kini membuahkan hasil selepas beliau berjaya meraih gelaran World Confectioner of the Year 2025 di Sao Paulo, Brazil, pada Julai lalu.

BACA LAGI: Galas tanggungjawab sebagai jurunavigasi, Permaisuri Thailand bakal bertanding di sukan SEA 2025

BACA LAGI: Buat 'live' demi bantu 'affiliate', Siti Nurhaliza titip harapan anak-anak teruskan legasi perniagaan

Wanita berusia 44 tahun itu menjadi wanita Asia Tenggara pertama dan warga Singapura pertama menerima gelaran berprestij itu, walaupun menganggap dirinya masih baharu dalam industri bakeri.

Memulakan cerita, Joanne berkata, Forest bangun pada pukul 2 pagi lima hari seminggu untuk membuat karipap, donat dan tart telur sebelum menghantarnya ke tujuh kantin sekolah. 

Ketika itu, Joanne sedang hamil anak kedua mereka dan hanya dapat membantu membungkus serta menemani suaminya semasa penghantaran.

Joanne menguli doh di dapur bakerinya di Ang Mo Kio. — Agensi

Pasangan itu, bersama anak sulung mereka yang berusia dua tahun menetap di pangsapuri HDB di atas kedai roti keluarga Forest, New Generation Confectionery, yang diasaskan pada 1979 di Ang Mo Kio Avenue 1, sementara menunggu pangsapuri mereka sendiri siap.

Dilahirkan di Taiwan, Joanne berpindah ke Singapura pada awal 2012 selepas bercinta selama sebulan dengan Forest, yang ditemuinya semasa bekerja sebagai pengajar tarian pada November 2011. 

Mereka berkahwin pada Mei 2012 dan Joanne menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Saya sedih melihat suami bekerja begitu keras dan ingin mencari cara untuk membantunya,” katanya. 

Sebelum ini, Joanne hanya bekerja sebagai guru tarian dan memiliki sijil pengajian bahasa asing terpakai dari Overseas Chinese University, Taichung.

Meski tiada pengalaman dalam bakeri, Joanne memberi cadangan agar mewujudkan platform dalam talian untuk kek tempahan majlis istimewa. 

Forest menguruskan pengeluaran manakala Joanne mengendalikan pemasaran Facebook dan tempahan.

“Pada saat itu, saya tahu saya ingin belajar membuat kek untuk meringankan beban suami,” ujarnya.

Meski tiada pengalaman dalam bakeri, Joanne memberi cadangan agar mewujudkan platform dalam talian untuk kek tempahan majlis istimewa. — Agensi

Rancangan rahsia

Selepas melahirkan anak kedua pada Mac 2014, Joanne membawa kedua-dua anaknya ke Taiwan selama sebulan dengan alasan mahu melawat keluarga. 

Sebenarnya ia adalah rancangan untuk beliau menghadiri kursus intensif membuat kek selama dua minggu di sekolah bakeri tempatan.

“Waktunya tepat. Ibu saya dapat menjaga anak-anak sementara saya menghadiri kelas dan belajar membuat kek. 

"Saya mahu mengejutkan suami apabila kembali ke rumah,” imbaunya.

Pagi pertama sekembalinya beliau ke Singapura, Joanne menghias kek yang sepatutnya dibuat oleh suaminya. 

Terkejut dengan kemahiran baharu isterinya, Forest menyokong keputusan Joanne untuk terus menghadiri kelas bakeri di Singapura dan menggalakkan beliau menyertai pertandingan.

Kini, Joanne bekerja sepenuh masa bersama suaminya, menghasilkan kek, shio pan dan roti sourdough yang laris dijual.

Kemenangan global itu menandakan pencapaian yang tidak pernah disangka Joanne dan menjadi inspirasi kepada pembuat roti muda.

Joanne (kanan) dan Forest  menguruskan bakeri Cake In Action By New Generation bersama-sama. — Agensi

Tarian 

Sebelum menjadi pembuat roti, Joanne mengajar tarian hip-hop kepada pelajar dewasa di Taiwan selama lima tahun. 

Beliau mempelajari tarian secara sendiri dan kemudiannya menyertai kumpulan tarian.

“Saya suka menari dan tidak takut berada di atas pentas. Ia membantu saya berani menyertai pertandingan bakeri.

"Bakeri membangkitkan kreativiti yang sama. Saya suka mencipta dan mencuba idea baharu serta lihat jika pelanggan boleh menerimanya,” ungkap beliau.

Menjadi warganegara Singapura pada 2017 menguatkan tekad Joanne untuk memilih bakeri sebagai kerjaya. 

Tahun yang sama, beliau menyertai pertandingan antarabangsa pertama di Taiwan dengan menghasilkan pineapple tart berbentuk ang ku kueh dan meraih tempat ketiga.

Beliau kemudian mula mempelajari cara pembuatan roti pada 2018. 

“Untuk membantu suami memodenkan bakeri keluarganya, saya perlu memahami roti secara menyeluruh,” katanya yang menghabiskan masa enam bulan bagi menguasai asas pembuatan roti sebelum menggabungkan bahan tempatan seperti daun laksa dan daun kari.

Joanne pernah menghadiri kursus intensif membuat kek selama dua minggu tanpa pengetahuan suaminya. — Agensi

Trend dan tradisi

Pasangan suami isteri berkenaan kemudian melakukan renovasi besar pada 2018, dengan menukar bakeri warisan seluas 796 kaki persegi itu menjadi kedai moden, Cake In Action By New Generation.

Proses itu menggunakan kira-kira pelaburan $180,000 (RM571,000) antaranya untuk membeli ketuhar empat tingkat baharu dan mesin pengadun industri.

Salah satu cabaran terbesar ialah bapa mertuanya yang menghargai kesetiaan kepada pembekal lama. 

Namun, hasil percubaan Joanne menggunakan tepung berkualiti tinggi yang lebih mahal ternyata memuaskan pelanggan dan pengurusan bakeri akhirnya diserahkan kepada pasangan itu.

Donat harian laris dijual, manakala kek mentega dan kek pisang tetap mengekalkan resipi asal bapa mertuanya.

Pasangan itu menetap di Ang Mo Kio bersama tiga anak masing-masing berusia 13, 11 dan sembilan tahun. 

Joanne bangun pukul 6 pagi dan berada di bakeri pada 6.30 pagi. 

Suaminya mengurus anak-anak sebelum memulakan tugas bakeri pada pukul 8.30 pagi.

Joanne berkata, hubungan mereka bukan bergantung pada perkara besar, tetapi pada hal-hal kecil seperti suaminya membantu mengemop lantai atau membawanya menikmati sarapan secara santai.

“Kami lihat satu sama lain setiap hari, menghabiskan hampir semua waktu bangun bersama, tetapi masih serasi dan suka berbual. 

"Pertengkaran besar jarang berlaku. Kami selalu menyelesaikan perbezaan secara baik.

“Apabila saya berkahwin dengan pembuat roti, saya tidak sangka akan menjadi pembuat roti juga. Saya masih suka roti setiap pagi, sama seperti suami, saya tidak jemu dengannya,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram