'Perjalanan ini bukan mudah', Wardina Safiyyah kini psikologis bertauliah


  • Sukses
  • Jumaat, 12 Dis 2025

Wardina memuat naik gambar sijil daripada Australian Health Practitioner Regulation Agency menerusi hantaran di Instagram.

PELAKON dan aktivis, Wardina Safiyyah kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjayanya selepas diiktiraf sebagai ahli psikologi bertauliah.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini. 

Menurut Wardina, 46, proses untuk bergelar pakar dalam bidang psikologi bukan satu perjalanan yang mudah.

BACA LAGI: Suasana pembelajaran kompetitif jadi punca pelajar T20 murung — Pakar psikologi

BACA LAGI: Johor serius tangani isu kesihatan mental pelajar, tawar khidmat kaunseling, sokongan psikologi

“Alhamdulillah. Terima kasih Amanda, Tim dan terutama sekali penyelia saya sekarang, Denver Simonsz,” katanya yang memuat naik foto sijil daripada Australian Health Practitioner Regulation Agency (AHPRA).

Pemilik nama penuh Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot itu juga berkongsi pengalamannya menangani pelbagai jenis klien sepanjang latihan.

Daripada individu neurodivergen ujarnya, hinggalah kes psikosis ekstrem dan gangguan personaliti kompleks.

Menurut Wardina, proses untuk bergelar pakar dalam bidang psikologi bukan satu perjalanan yang mudah.

“Saya percaya masih banyak yang belum saya lihat. Kepada ribuan klien yang telah ditemui, terima kasih kerana berkongsi perjalanan anda dan membenarkan saya menjadi sebahagian daripadanya,” ceritanya.

Wardina yang memiliki ijazah dalam bidang hiasan dalaman daripada Centre for Advance Design (CENFAD) Kuala Lumpur itu berkata, pencapaian tersebut memberi semangat baharu untuk terus menyumbang kepada dunia psikologi dengan penuh empati dan keaslian.

“Semoga saya dapat terus menyumbang kepada bidang ini, membantu orang lain memahami kehidupan dengan penuh belas kasihan, ketulusan, keaslian dan memberikan versi terbaik diri. 

"Saya cinta akan pekerjaan ini, manusia dan masa depan yang saya lihat untuk diri sendiri serta klien-klien yang benar-benar mengujakan!” tulis bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 1997/98 itu. 

Untuk rekod, Wardina kini menetap di Brisbane, Australia bersama suaminya, Ikhwan Johari yang merupakan seorang arkitek dan anak-anak mereka iaitu Amna Nafeesa, Azra Sareera dan Imran Arrazi.

Puteri sulung mereka, Amna Nafeesa telah pun mendirikan rumahtangga bersama pasangannya, Yusuf pada tanggal 3 September 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram