
RAMAI usahawan wanita tempatan didapati mula berdepan cabaran selepas jualan perniagaan mencecah RM100,000.
Hal itu dikongsikan seorang usahawan wanita menerusi hantaran di aplikasi Threads miliknya, sherinaeyo.
Menurutnya, fenomena itu berbeza dengan situasi di rantau Asean, yang mana ramai pengasas wanita dari negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura sudah merancang strategi pertumbuhan dan penjenamaan sejak dari awal lagi.
BACA LAGI: Graduan dari keluarga susah lega, bantuan one-off RM1,000 bantu langkah pertama cari rezeki jauh
“Ada sesetengah pengasas wanita Malaysia struggle (berdepan kesukaran) lepas capai RM100,000.
"Namun di Asean, ramai pengasas wanita dah mula fikir jauh sebelum naik,” tulisnya.
Beliau menjelaskan, kekuatan jenama yang dibina oleh pengasas wanita di Asean berpunca daripada cara berfikir dan strategi penjenamaan sejak awal, bukan hanya selepas mencapai tahap kejayaan tertentu.
“Mereka tak tunggu jualan tinggi baru nak membina jenama. Mereka mula dari bawah dengan cara berfikir aku bukan jual produk, aku bina sistem dan persepsi,” katanya.
Antara contoh kejayaan yang diketengahkan termasuk beberapa jenama fesyen wanita terkemuka di rantau ini:
1) Love, Bonito (Singapura)
Rachel melantik perunding identiti jenama sejak tahun kedua operasi.
Mula menjual di blogshop, pengasas Love, Bonito, iaitu Rachel Lim tahu, pengasas tak boleh buat semua!
Justeru beliau sudah melantik perunding identiti jenama sejak tahun kedua operasi bagi memastikan pertumbuhan perniagaan lebih tersusun.
2) Kumu App (Filipina)
Gonzalez mengajar pasukannya bahawa reka bentuk bukan sekadar cantik, tetapi psikologi.
Pengasas bersama jenama aplikasi hiburan sosial dan penstriman langsung yang diasaskan di Filipina itu, Crystal Gonzalez memfokuskan pada pembinaan komuniti sebelum kandungan.
"Gonzalez tak popular pun tapi strateginya, bina komuniti sebelum kandungan.
"Beliau ajar pasukannya bahawa reka bentuk bukan sekadar cantik, tetapi psikologi," kongsinya.
3) Peggy Hartanto
Peggy mengetengahkan gambaran jenama 'high-end' untuk tarik perhatian pengguna antarabangsa.
Jenama tersebut diasaskan tiga beradik dari Surabaya, Indonesia iaitu Peggy Hartanto, Lydia Hartanto dan Peter Hartanto.
Walaupun bermula kecil, penampilan produknya memberikan gambaran jenama 'high-end', yang membantu menarik perhatian bukan saja pelanggan tempatan tetapi juga antarabangsa.
Dalam pada itu, ujar sherinaeyo, terdapat pola jelas menunjukkan pengasas wanita Asean yang berjaya memulakan bisnes mereka dengan strategi, sistem dan keberanian memperlihatkan nilai diri sejak awal, bukan sekadar semangat atau rasa ingin mencuba.
Akuinya, di Malaysia memang ramai wanita hebat, namun masih ramai yang terikat dengan naratif untuk memulakan sesuatu secara perlahan sebelum melakukan penambahbaikan pada masa akan datang.
“Sedangkan kalau dari awal dah tahu hala tuju, kita tak perlukan ‘nanti’,” ujarnya lagi.
Bicaranya, identiti visual dalam perniagaan bukan semata-mata untuk menarik perhatian orang luar, tetapi berperanan penting dalam menentukan hala tuju dan arah gerak pasukan.
“Kejayaan pengasas wanita Asean bukan sebab mereka lebih bijak, tapi sebab mereka lebih berani menampakkan nilai diri.
"Tanpa perlu jadi loud atau murahkan harga. Mereka tahu persepsi bukan sombong, ia survival,” katanya.
Menutup perkongsian, beliau menyeru usahawan wanita Malaysia untuk menilai semula pendekatan mereka dan berani berevolusi dalam membina perniagaan.
“Kadangkala kita belum buntu, hanya belum berkembang. Bisnes tak perlu besar, tapi perlukan haluan. Kalau kau pengasas wanita yang tengah bina impian, kita geng,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram