[VIDEO] Lelaki China sanggup bina Parthenon tema Hello Kitty bernilai lebih RM300,000, jadi 'backdrop' melamar kekasih


  • Cinta
  • Khamis, 11 Dis 2025

Lelaki itu dipercayai membelanjakan kira-kira RM336,000 bagi memastikan lamaran tersebut menjadi momen yang diingati seumur hidup. — Agensi

SEORANG ahli perniagaan di China bertindak melamar teman wanitanya dengan membina struktur gergasi ala Parthenon yang dihiasi ribuan anak patung Hello Kitty.

Lamaran di Shenzhen, Wilayah Guangdong itu mencetuskan sensasi global selepas video persiapan dan detik lamaran dikongsikan secara meluas.

Menurut sumber, lelaki berkenaan memilih tema unik itu bagi meraikan minat mendalam teman wanitanya terhadap watak popular Jepun, Hello Kitty.

BACA LAGI: Merantau lebih 5,000km ke Banten, 'lamaran' vlogger dari India ditolak gadis Indonesia

BACA LAGI: Cinta selepas kahwin bertukar mimpi ngeri, wanita didesak suami jadi penjamin hutang 'ah long' RM30,000

 

Beliau dipercayai membelanjakan sehingga £70,000 (kira-kira RM336,000) bagi memastikan lamaran tersebut menjadi momen yang diingati seumur hidup.

Tumpuan utama lamaran mewah itu ialah struktur sementara berbentuk kuil Parthenon, namun dengan sentuhan budaya pop moden.

Tiang dan pedimen kuil mini itu dilaporkan dihasilkan daripada ribuan anak patung Hello Kitty bercahaya, disusun bagi menyerupai kemegahan seni bina klasik Yunani.

Selain struktur utama, lokasi lamaran turut dihias dengan hamparan bunga ros, ribuan lampu diod pemancar cahaya (LED), karpet merah dan dekorasi romantik lain yang menuntut masa serta tenaga kerja besar.

Walaupun butiran kos tidak didedahkan secara rasmi, sumber memaklumkan, sebahagian besar perbelanjaan digunakan untuk pembinaan khas, sistem pencahayaan, keselamatan dan pembelian anak patung Sanrio rasmi dalam kuantiti besar.

Selain struktur utama, lokasi lamaran turut dihias dengan hamparan bunga ros, ribuan lampu LED, karpet merah dan dekorasi romantik lain. — Agensi

Fenomena 

Aksi lamaran mewah sebegini bukanlah sesuatu yang asing di beberapa negara Asia, dengan kemegahan dan perancangan terperinci sering dilihat sebagai simbol kesungguhan serta kemampuan bakal suami.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, media sosial kerap memaparkan lamaran berskala besar melibatkan puluhan kereta mewah, pertunjukan dron, cincin berlian berukuran luar biasa dan dekorasi khas yang direka untuk meraih perhatian warga maya.

Tekanan budaya dan kepercayaan bahawa kestabilan kewangan perlu dibuktikan melalui pertunjukan atau acara luar biasa, turut menjadi faktor mendorong trend lamaran ekstrem itu.

Di media sosial, aksi tersebut mencetuskan reaksi bercampur-baur.

Ada yang memuji kreativiti dan romantisme lelaki berkenaan, menyifatkannya sebagai simbol cinta tulus dan usaha luar biasa demi membahagiakan pasangan.

Namun, ada juga yang mengkritik perbelanjaan itu sebagai tindakan tidak wajar, mencerminkan budaya mempamer kekayaan yang semakin berleluasa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram