[VIDEO] Anak-anak cukur rambut Elyana, semakin menipis kesan kemoterapi


  • Bonda
  • Ahad, 14 Dis 2025

Tangkap layar memaparkan momen Elyana bersama anak-anaknya bergilir-gilir mencukur rambutnya. — Instagram/elyanaofficial1

PENYANYI dan pelakon, Elyana, 38, berkongsi detik menyentuh hati apabila kedua-dua anaknya membantu mencukur rambutnya yang semakin menipis akibat rawatan kemoterapi.

Menerusi satu perkongsian video di akaun Instagram miliknya, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal memaparkan momen bersama Cinta Sumayyah, 15, dan anak angkatnya, Cahaya Ramadhani, 6, yang bergilir-gilir mencukur rambutnya di dalam sebuah bilik.

Lebih menyentuh perasaan, pelantun lagu Kalis Rindu itu turut dilihat dengan tenang mencukur sendiri bahagian rambutnya yang lain.

BACA LAGI: Sejak kecil jual pelekat di sekolah, kemoterapi tak halang Elyana bereksperimentasi dalam F&B

BACA LAGI: Elyana beri bayangan kembali bertarung melawan kanser, pertama kali didiagnos 16 tahun dulu

 

 

“Hari ke-29 (menjalani) kemoterapi. Masya-ALLAH, perjuanganku demi anak-anak.

"Sembuhlah, kerana anakku berhak mendapat diriku yang terbaik, bukan yang terluka,” tulisnya dalam ruangan kapsyen pada Sabtu.

Difahamkan, Elyana kini kembali menjalani rawatan kemoterapi susulan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya sebagai langkah pencegahan bagi memastikan kesihatannya terus terjaga.

Untuk rekod, pada 2017, isteri kepada ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin itu mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Pada Disember 2020, Elyana memaklumkan sel kanser berkenaan telah merebak ke beberapa organ termasuk rahim, hati dan pangkal paha.

Bagaimanapun pada 2021, Elyana berkongsi berita gembira apabila disahkan bebas daripada kanser limfoma yang dihidapinya selama 11 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram