Hilang nyawa akibat makan supplemen RM20 beli di internet


  • Maya
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Pengambilan suplemen dijual dengan harga murah di media sosial tanpa pengiktirafan KKM boleh merisikokan nyawa. — Gambar hiasan

ORANG ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati terutama ketika membeli produk kesihatan atau kecantikan di aplikasi media sosial.

Di sebalik tawaran harga rendah dan testimoni meyakinkan, terselit risiko dan bahaya yang boleh mengancam nyawa.

Sama seperti kisah tular melibatkan seorang wanita didakwa meninggal dunia selepas mengambil makanan tambahan (supplement) yang dibeli secara dalam talian dengan harga sekitar RM20.

BACA LAGI: Personaliti YouTube kesayangan kanak-kanak, Ms. Rachel gayakan gaun bersulam lukisan anak Gaza di acara fesyen berprestij

BACA LAGI: Kandungan isteri Shah Iskandar digugurkan sebab Sindrom Edwards, harus hukumnya jika bahayakan nyawa ibu

Setiap pengambilan suplemen perlu mendapatkan saranan dan nasihat daripada pakar. — Gambar hiasan

Mangsa juga didakwa mengalami kerosakan organ dalaman akibat bahan beracun yang terkandung dalam produk tersebut.

Kejadian itu turut mengundang reaksi ramai pengguna lain yang mengakui pernah membeli produk sedemikan dengan harga murah secara dalam talian tanpa menyemak keselamatan dan saranan pakar.

Seorang pengguna di Threads, @starkstruck23 mengakui pernah mengalami kesan sampingan selepas mengambil suplemen yang dibeli di media sosial.

"Sekarang banyak betul yang murah-murah. Saya pun terjebak, tetapi dah berhenti sebab kencing berbau lain.

"Yang suplemen magnesium pun berhenti sebab lagi kacau bilau otak saya," katanya.

Susulan kejadian itu, pakar kesihatan menyarankan orang ramai agar tidak membeli atau mengambil sebarang suplemen tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pengesahan daripada pakar perubatan.

Selain mengancam nyawa, pengambilan tidak terkawal juga boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ penting dalam badan.

Seperti yang pernah dikongsikan pakar sakit puan, Dr Faizan Irdawaty sebelum ini, setiap suplemen perlulah diambil dengan rujukan pakar perubatan.

Menurutnya, terdapat kes melibatkan pesakitnya yang menghidap kanser rahim selepas mengambil suplemen sendiri tanpa berjumpa doktor.

"Dia sangat percaya dengan produk yang dikatakan boleh hilangkan masalah kesihatan, bantu lancarkan haid dan sebagainya.

"Bila dia ambil produk tersebut, tak sangka haidnya datang semula secara berkala pada umur 48 tahun dan rasa produk itu bagus.

"Ia berlanjutan sehingga berlakunya pendarahan sangat banyak sampai terpaksa pakai lampin dan disahkan oleh doktor bahawa rahimnya sudah bengkak," jelasnya.

Situasi tersebut sekali gus wajar menjadi teladan buat masyarakat supaya tidak memandang remeh terhadap pengambilan suplemen tanpa nasihat pakar.

Beliau pada masa sama menegaskan, setiap suplemen perlu didapatkan atau dibeli dari pusat perubatan seperti klinik atau farmasi diiktiraf KKM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram