'Tak salah jadi suri rumah lepas kahwin, yang salah kalau anda asal keturunan asnaf'


  • Bonda
  • Ahad, 14 Dis 2025

Anak-anak daripada keluarga asnaf digalakkan membantu keluarga selepas tamat pengajian, berbanding terus menjadi suri rumah. — Gambar hiasan

PERKONGSIAN seorang individu di aplikasi TikTok mengenai tanggungjawab anak terhadap keluarga, khususnya bagi mereka yang berasal daripada golongan asnaf mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.

Perkongsian itu dibuat susulan pengakuan seorang suri rumah berpendidikan tinggi yang meluahkan penyesalan kerana tidak sempat membahagiakan ibu bapanya.

Menerusi hantaran yang dimuat naik pada Selasa lalu, individu berkenaan menyuarakan pandangan, tidak menjadi kesalahan untuk wanita memilih menjadi suri rumah selepas berkahwin. 

BACA LAGI: Nilai suri rumah bukan pada 'payslip', JAKIM respons status graduan 'master' kecewa hanya duduk rumah jaga anak

BACA LAGI: Sejak kecil jual pelekat di sekolah, kemoterapi tak halang Elyana bereksperimentasi dalam F&B

Namun menurutnya, situasi tersebut perlu dilihat berdasarkan latar belakang keluarga, terutamanya bagi mereka yang dibesarkan dalam keluarga kurang berkemampuan.

"Tak salah nak jadi suri rumah lepas kahwin tapi yang salah kalau anda asal keturunan asnaf.

"Ibu bapa dah bergolok gadai semata nak tampung anda belajar tinggi-tinggi.

"Anda pula ada adik-adik kecil lain, selepas saja bergraduasi, awak terus menikah dan menjadi suri di rumah," tulisnya.

Jelasnya, bagi anak-anak daripada keluarga asnaf yang ibu bapa sanggup berkorban besar demi memastikan anak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tanggungjawab moral untuk membantu keluarga selepas tamat pengajian wajar dipertimbangkan.

Ujar beliau, sebagai anak daripada keluarga miskin, mereka memang bercita-cita untuk mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan. 

"Maka kami yg bernasib sedikit baik ini, yang dapat melanjutkan belajar di universiti ketika member flat lain dah mula kerja lepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan membantu keluarga.

"Maka kami haruslah bercita-cita yang sama juga yakni membantu keluarga seusai graduasi," katanya.

Tambah individu itu, walaupun anak bukan ‘skim persaraan’ ibu bapa dan anak sulung bukan 'mesin pengeluaran automatik (ATM)' untuk adik-beradik, konteks serta kesesuaian situasi perlu diambil kira. 

Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya anak yang berjaya menamatkan pengajian wajar memberi peluang kepada ibu bapa merasai hasil titik peluh anak, walaupun sedikit dan dalam tempoh singkat.

Beliau turut menyentuh pengorbanan ibu bapa yang selama puluhan tahun hidup berjimat, makan bercatu dan memakai pakaian sama demi membesarkan anak-anak.

“Berilah ibu bapa merasa apa yang selama ini terpendam di hati ketika mereka berkorban demi anda.

"Berpuluh tahun pakai baju tak berganti, belikanlah mereka baju yang cantik-cantik. Berpuluh tahun tangan mak togel, sarungkanlah 'seurat' emas walau tipis.

"Ibu bapa memang tak berkehendak akan kemewahan anda tapi sebagai anak, cubalah sedaya upaya membahagiakan mereka sebelum kita nak membahagiakan anak lelaki orang," pesannya.

Selain itu, individu tersebut turut mengingatkan agar anak-anak tidak melupakan pengorbanan adik-beradik yang membantu menjaga ibu bapa ketika mereka melanjutkan pelajaran di tempat lain, selain menyifatkan bantuan kewangan atau sokongan sebagai tanda penghargaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram