Kongsi kehidupan berkerusi roda, YouTuber Korea hidap cerebral palsy ubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU


  • Sukses
  • Ahad, 14 Dis 2025

Melalui perkongsian rekaan kerusi roda dan vlog perjalanan, Ji-woo berharap dapat mencipta kesedaran yang diimpikannya sejak kecil. — Instagram/guru_rolling

JIKA kebiasaannya saluran YouTube dipenuhi dengan rancangan makan atau tutorial solekan, berbeza bagi Kim Ji-woo yang menggunakan platform itu untuk menyuarakan suara golongan minoriti demi mewujudkan kepelbagaian.

Ji-woo yang menghidap cerebral palsy memulakan saluran YouTube popularnya, Rolling Guru pada usia 16 tahun dan kini menggunakan platform itu untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap ketidakupayaan di Korea Selatan.

Melalui perkongsian rekaan kerusi roda dan vlog perjalanan, pencipta kandungan dari Korea Selatan itu berharap dapat mencipta kesedaran yang diimpikannya sejak kecil.

BACA LAGI: 'Tak salah jadi suri rumah lepas kahwin, yang salah kalau anda asal keturunan asnaf'

BACA LAGI: Caruman serendah RM10 sebulan, suri rumah jangan terlepas mohon 5 bantuan khas golongan tidak bekerja

 

 

Ketika membesar, beliau merupakan satu-satunya dalam kalangan rakan-rakan yang menggunakan kerusi roda, namun ibu bapanya memastikan beliau terlibat dalam aktiviti hujung minggu seperti kanak-kanak lain.

“Pada masa lalu, saya akan panik dan menjadi histeria apabila orang asing memandang saya dan kerusi roda saya.

"Namun sejak mengendalikan saluran YouTube, saya menjadi lebih positif dan terbuka.

“Kini saya tidak lagi mengelak daripada bertentang mata dan malah berkata kepada diri sendiri, ‘mungkin mereka memandang kerana saya menarik’,” katanya.

Ji-woo menghabiskan sebahagian besar hidupnya terhad pada rumah dan sekolah, namun pada usia 22 tahun, beliau mengembara seorang diri di Hong Kong.

“Buat pertama kali, saya terfikir, ini sebenarnya tidak sebesar yang dibayangkan. Tiada apa-apa perkara buruk berlaku,” ujarnya.

Di Korea Selatan, orang kurang upaya sering sukar dilihat atau dikenali kerana stigma sosial, kemudahan yang terhad dan kurangnya wakil mereka dalam kehidupan seharian.

Video pertama Ji-woo membincangkan kekurangan keterangkuman golongan kelainan upaya dalam media.

YouTube turut membantu Ji-woo (duduk) menjadi lebih peka terhadap isu hak asasi golongan kelainan upaya.

Sejak itu beliau sedar dirinya boleh berhubung dengan pengguna kerusi roda lain serta mendapat sokongan daripada mereka yang memahami pengalaman hidupnya.

Ji-woo turut memulakan segmen Wheelchair of the Month, yakni menghias kerusi rodanya mengikut tema tertentu.

“Pada mulanya saya fikir jika saya menghias kerusi roda dengan cantik, ia akan kelihatan menarik.

"Orang lain boleh melakukannya, jadi saya juga boleh mencuba. Namun, semakin lama menghasilkan kandungan ini, saya benar-benar mula menyukai kerusi roda saya.

“Idea ini bukan sekadar tentang kerusi roda cantik, tetapi mengekspresikan identiti dan menangani realiti sebenar kehidupan dengan ketidakupayaan,” jelasnya yang kini menganjurkan acara menghias kerusi roda bersama orang ramai.

Ji-woo berharap usaha itu dapat merapatkan jurang maklumat bagi golongan kelainan upaya.

Selain itu, YouTube turut membantu Ji-woo menjadi lebih peka terhadap isu hak asasi golongan kelainan upaya.

"Dulu, ada orang memanggil saya dengan kata-kata yang bertujuan merendahkan-rendahkan diri dan saya hanya mengalah, tapi sekarang, saya berani menegur mereka supaya berhenti,” kongsinya.

Berdasarkan pengalamannya melihat lebih ramai golongan kelainan upaya di Jepun, Ji-woo belajar bahawa mereka perlu lebih aktif menonjolkan diri di Korea. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

Pengajaran itu menjadi antara dorongan utama untuk beliau memulakan saluran YouTube.

Sehingga kini, beliau telah meraih lebih 96,000 pengikut di YouTube menerusi video yang memaparkan kehidupan hariannya yang biasa namun luar biasa.

Dalam videonya, Ji-woo menghias kerusi roda, berkongsi panduan berinteraksi dengan golongan kelainan upaya dan mengupas isu ketidakupayaan secara mendalam.

“Malah keluarga juga banyak terkesan dengan saluran ini. Mereka mengenali sisi diri saya yang tidak pernah mereka ketahui sebelum ini melalui YouTube dan seluruh keluarga turut terlibat dalam pembikinan video,” katanya.