'Welcome to the family', Engku Emran kongsi momen bertemu Erra Fazira, Mr E, bertiga hantar Engku Aleesya 'terbang' ke Oxford UK


  • Bonda
  • Isnin, 15 Dis 2025

Engku Emran berkongsi momen ketika menghantar Engku Aleesya di KLIA sebelum berangkat ke UK. — Instagram/aintmeemrawnoon

ENGKU Emran Engku Zainal Abidin berkongsi momen pertemuan dengan Erra Fazira dan suami, Muhammad Ezwan Zain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor ketika menghantar anak mereka, Engku Aleesya berangkat ke United Kingdom (UK).

Pertemuan itu dikongsikan Engku Emran menerusi beberapa keping foto yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya pada Isnin.

Dalam perkongsian tersebut, usahawan berkenaan turut menzahirkan rasa gembira dapat bertemu bapa tiri kepada Engku Aleesya, buat pertama kali.

BACA LAGI: Erra Fazira sah milik Mr. E, anggun berbusana biru lembut rekaan Rizman Ruzaini

BACA LAGI: [VIDEO] Dr Akmal batal tunai haji, salur simpanan RM120,000 demi rawatan pemindahan hati Medina

“Selamat datang ke dalam keluarga, Mr E! Sangat gembira akhirnya dapat bertemu dengan ayah tiri Aleesya.

"Aleesya ditawarkan mengikuti kursus jangka pendek di Oxford UK kerana keputusan cemerlangnya dalam ujian IGCSE (Sijil Am Antarabangsa Sekolah Menengah).

“Jadi kami bertiga menghantarnya ke KLIA pagi semalam,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menitipkan pesanan buat Engku Aleesya, selain mendoakan kejayaannya sepanjang mengikuti pengajian.

"Semoga berjaya dan selamat menimba ilmu dengan penuh manfaat di Oxford, Aleesya," ujar pengacara dan personaliti televisyen, Daphne Iking.

"Yay, semoga berjaya Aleesya, jaga diri," pesan pelakon dan personaliti radio, Sharifah Shahirah.

"Alhamdulillah, tahniah sweet gal. Awak benar-benar sedang terbang tinggi. Semoga berjaya dan @aintmeemrawnoon tolong sampaikan kepadanya supaya sentiasa bergembira," kata drzaherah.

Untuk rekod, Erra Fazira, 51, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan atau lebih dikenali sebagai Mr E, 44, dengan sekali lafaz pada Jumaat lalu dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di ruang acara Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin dengan mas kahwin sebanyak 24 dinar emas.

Ini merupakan perkahwinan ketiga buat primadona filem Melayu berkenaan selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim dari 2003 hingga 2006.

Erra kemudiannya berkahwin pula dengan Engku Emran pada 2007 sebelum berpisah pada 2014 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Engku Aleesya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram