SEORANG kanak-kanak perempuan, Medina yang menderita sakit Billiary Atresia memerlukan rawatan pemindahan hati segera terus mendapat perhatian ramai apabila kutipan dana untuknya kini mencecah RM62,000.
Namun, jumlah itu difahamkan masih jauh daripada keperluan keseluruhan kos rawatan yang dianggarkan sekitar RM180,000.
Dalam perkembangan terbaharu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Dr Akmal Saleh tampil keputusan luar biasa apabila sanggup membatalkan hasrat menunaikan haji bersama isterinya demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.
BACA LAGI: 'Belajar memulih dan menghargai', Syamimiaa cat semula koridor PPR didiami lebih 23 tahun
BACA LAGI: 'Bukan orang senang', pelajar terharu ibu hadiahkan telefon pintar walau bukan jenama mahal
Menurutnya, wang simpanannya berjumlah RM120,000 yang sebelum ini diperuntukkan untuk bayaran haji tahun ini, akan disalurkan sepenuhnya bagi menampung kos rawatan pemindahan hati Medina.
Keputusan itu dibuat kerana beliau merasakan nilai sebuah nyawa jauh lebih besar daripada memenuhi impiannya menunaikan rukun Islam kelima tersebut.
“Mungkin ALLAH belum panggil saya lagi, duit ni sebenarnya untuk Medina kot saya rasa, yang lebih penting nyawa dia," katanya ketika berkunjung ke kediaman keluarga kanak-kanak berkenaan baru-baru ini.
Dalam nada sebak, Dr Akmal menjelaskan bahawa beliau tidak sanggup melihat keadaan Medina yang semakin merosot dari hari ke hari.
"Nyawa dia bergantung kepada masa, lagi lama, walaupun kita nampak dia okey, sebenarnya dia akan drop, saya tak boleh tengok, saya anggap dia macam anak saya," katanya.
Beliau turut meminta keluarga agar menghubungi hospital dan pihak berkaitan dengan segera bagi mempercepatkan proses rawatan memandangkan dana diperlukan telah mencukupi untuk langkah awal.
Dalam pada itu, Dr Akmal cukup dikenali sebagai antara pemimpin yang aktif turun padang, khususnya dalam isu kebajikan rakyat serta bantuan kesihatan.
Komitmennya sering mendapat perhatian, termasuk ketika membantu pesakit-pesakit kritikal dan golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang.
Katanya lagi, walaupun impian menunaikan haji adalah sesuatu yang sangat dihargainya, namun beliau percaya pengorbanan itu adalah yang terbaik pada saat ini.
"Kalau kita nak bagi sesuatu kepada orang, bagi benda yang paling kita sayang, saya memang nak sangat pergi haji tapi tak mengapa.
"Tahun ni kita tak pergi haji tapi yang penting Medina dapat rawatan," ujarnya.
Tindakannya menerima penghargaan ramai pihak yang memuji tindakan Dr Akmal sebagai contoh kepimpinan berjiwa rakyat serta pengorbanan besar yang mencerminkan nilai kemanusiaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
