SAH bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 44, selebriti dan primadona filem Melayu, Erra Fazira, 51, selamat melangsungkan pernikahan pada jam 9.20 pagi Jumaat di ruang acara Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang.
Majlis yang dihadiri keluarga terdekat itu berlangsung dalam suasana sederhana dan penuh bermakna.
Pasangan berkenaan dinikahkan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Noordin dengan mas kahwin sebanyak 24 dinar emas.
BACA LAGI: [VIDEO] Dr Akmal batal tunai haji, salur simpanan RM120,000 demi rawatan pemindahan hati Medina
Selain majlis akad nikah, perhatian turut tertumpu pada penampilan Erra yang tampil elegan dalam busana nikah rekaan Rizman Ruzaini.
Memilih rona biru lembut, busana itu memberi sentuhan moden namun tetap menjaga ciri kesopanan yang sesuai dengan suasana majlis.
Potongan baju kurung moden dan kemasan fitted pada bahagian badan memberikan bentuk yang teratur dan kemas tanpa berlebihan.
Perincian manik dalam tona perak dan putih disusun rapi pada bahagian dada, pinggang dan lengan, membentuk corak geometri halus yang menambah tekstur serta kilauan.
Rekaan bahu dan pergelangan tangan yang dihiasi sulaman padat memberi kesan lebih kemas dan teratur, manakala fabrik bawah yang beralun menambah elemen feminin pada keseluruhan gaya.
Penampilan Erra disempurnakan dengan tudung bawal eksklusif berwarna senada yang dihiasi perincian manik halus, dipadankan dengan layah panjang.
Hujung layah juga dipercantikkan dengan sulaman manik halus memberikan sentuhan lembut tanpa menarik perhatian secara berlebihan.
Sejambak bunga putih ringkas dipilih sebagai pelengkap. Solekan hasil sentuhan Deqsha pula memberikan tona natural yang mengekalkan keanggunan asli Erra.
Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan ketiga buat Erra selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 hingga 2006.
Erra kemudian berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 hingga 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya.
Sementara suaminya kini, Ezwan pula telah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang anak perempuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
