Pernah pengsan akibat depresi, kematian isteri tak halang 'superdaddy' didik 3 anak istimewa


Khairul Abdullah memenuhi hasrat terakhir arwah isteri untuk berhenti kerja dan menjaga anak-anak sepenuh masa.

PERNAH pengsan kerana tekanan mental menjaga tiga anak ‘istimewa’, antara pengalaman berharga dilalui seorang pempengaruh media sosial yang bergelar bapa tunggal sejak lima tahun lalu.

Khairul Abdullah, 48, kematian isterinya Marleena Abdul Manaff akibat jangkitan kuman dalam darah dengan meninggalkan tiga anak lelaki yang cukup istimewa dan unik.

Khaleef (kiri), Khaleed dan Khaleel.

Tiga hero itu adalah Khaleef, 9, Khaleel, 8, dan Khaleed yang berusia enam tahun.

Khaleef menghidap penyakit jantung, autisme dan Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) manakala Khaleed pula sejak kecil sering meraung pada waktu malam dan anak bongsunya mempunyai sindrom bisu terpilih.

Khairul Abdullah atau mesra dipanggil KA berkata, anaknya Khaleed pula sering meraung menangis ketika waktu malam dan sehingga kini masih sedang mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Tambah KA, dia berhenti kerja untuk menunaikan permintaan isterinya supaya menjaga sendiri tiga putera mereka, dengan perbelanjaan ditanggung berbekalkan sedikit simpanan dan bayaran hibah isterinya.

KA menyiapkan bekal untuk anak-anaknya bawa ke sekolah setiap hari.

KA turut berkongsi bahawa dia bangun seawal pukul 5 pagi setiap hari untuk menyiapkan makanan untuk anak-anaknya membawa bekal ke sekolah.

Menceritakan momen pengenalan dengan arwah isteri, KA berkata, dia mengenali Marleena sewaktu umurnya 24 tahun manakala isterinya 20 tahun ketika itu.

"Kami berkawan dan bercinta selama enam tahun sebelum membina masjid bersama," demikian katanya dalam Program Temubual Khas bertajuk ‘Dikurniakan Anak Istimewa Bukan 1 Bukan 2 tapi 3’ di akaun TikTok Majoriti pada Jumaat.

Khaleef, Khaleed dan Khaleel bersekolah di sebuah sekolah swasta di Cyberjaya.

Bercerita lanjut, KA berkata, selepas kematian isteri, rutinnya berubah secara sepenuhnya dengan dia antara lain perlu selalu menghantar anak menjalani terapi di pusat rawatan.

Namun, pada masa sama, dengan bakat dalam bidang penulisan digunakan untuk mencari rezeki sebagai penulis iklan untuk syarikat.

“Cabaran membesarkan anak istimewa sebenarnya buat saya lebih kuat mencari rezeki dan jaga anak. Selain itu, mental juga kena kuat selain fizikal.

“Pada tahun kedua sebagai bapa tunggal saya pernah dirawat di hospital kerana pengsan, mental saya terlalu tertekan,” katanya yang memberi gelaran ‘superdad’ kepada dirinya untuk menyuntik semangat bagi menjaga anaknya.

Dia juga berpesan kepada dirinya agar tidak lemah dan kena kuat demi anak-anak kerana sedar jika dia sakit atau meninggal dunia, siapa yang akan menggantikan tempatnya untuk menjaga mereka.

“Lepas saya masuk hospital kerana pengsan, doktor cakap saya terlalu tertekan (depresi) jadi saya banyak berpesan pada diri saya, saya kena kuat, saya tak boleh macam ni (terus bersedih) sebab kalau saya sakit macam ini siapa nak jaga anak-anak saya," ujarnya.

Namun pengorbanannya itu mempunyai hikmah tersendiri dan berbalas apabila rezekinya semakin terbentang luas serta pendapatannya semakin selesa hasil bayaran khidmat penulisan iklan dan operasi syarikat ejen takafulnya.

Kini, dia dapat menyediakan kediaman selesa buat keluarga dan anak-anaknya pula beruntung dapat menjalani rawatan terapi dalam suasana kondusif.

“Saya bersyukur sebenarnya sebab dari tiada pilihan untuk berhenti kerja, saya ada masa untuk bawa anak ke terapi...dapat ilmu yang kemudiannya dikongsi dengan lebih ramai (media sosial),” katanya yang mempunyai 230,000 pengikut di Facebook dan kira-kira 36,000 pengikut di Instagram.

Rutin setiap hari KA hantar anak-anak ke sekolah bersama bekalan yang disiapkan olehnya setiap pagi.

Oleh itu, KA menghantar anaknya ke sekolah jenis swasta di Cyberjaya kerana tahap IQ anaknya dikatakan tinggi dan silibus pembelajaran di sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terlalu rendah buat Khaleef.

Jelas KA, kos untuk seorang anak dianggarkan sekurang-kurangnya antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan untuk ketiga-tiga putera istimewanya itu.

Sebelum mengakhiri temu bual itu, KA sempat berkongsi 3 cara-cara bagaimana untuk mengesan jika anak mempunyai autisme.

1. Sensitif terhadap bunyi kuat.

2. Anak tidak sahut panggilan ibu bapa.

3. Susah ‘eye contact’

Jika anak anda kelihatan sedikit lain dari anak-anak orang lain atau menunjukkan tingkah laku yang tidak normal, ibu bapa perlu mengambil tindakan awal dengan membawa anak ke fasiliti kesihatan terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram