
SUASANA di dalam sebuah pesawat bertukar meriah selepas penumpang dan kru kabin bersama-sama menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi buat warga emas yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100.
Momen mencuit hati itu dirakam cucu kepada warga emas berkenaan, Safuwan Mohd Saidi, 35, dan dikongsikan di akaun TikTok miliknya pada Jumaat lalu.
Menerusi video itu, kedengaran kapten pesawat membuat pengumuman khas bagi meraikan penumpang istimewa tersebut, Mat Zin Abdullah.
BACA LAGI: [VIDEO] Hampir seumur hidup mandi guna pencuci pinggan, pakcik jual belon sebak dapat sabun mandi
“Selamat pagi, kita mempunyai tetamu istimewa bernama Mat Zin Abdullah yang berada di tempat duduk 19.
"Hari ini adalah hari istimewa beliau, meraikan hari lahir ke-100.
“Alhamdulillah, Masya-ALLAH, mari kita nyanyikan lagu hari jadi untuknya dan jadikan hari beliau lebih bermakna,” ujar kapten berkenaan disambut tepukan dan sorakan para penumpang.
Seluruh kabin kemudian bergema dengan nyanyian, menjadikan suasana penerbangan dari Terengganu ke Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu begitu istimewa dan penuh kenangan.
Berkongsi kepada Majoriti, Safuwan berkata, tujuan perjalanan itu adalah untuk membawa datuknya ke ibu negara bagi menziarahi anak Mat Zin yang ke-13.
Mat Zin masih aktif meskipun usia menginjak 100 tahun pada tahun ini.
Menurut beliau, datuknya yang berasal dari Kuala Nerus, Terengganu turut meluahkan hasrat untuk bersua muka dengan bekas perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Atuk cakap, dia teringin sangat nak jumpa Tun M sebab katanya mereka sebaya.
“Semasa penerbangan kami transit di Alor Setar, Kedah saya bawa atuk ke rumah kelahiran Tun M, teruja dia waktu itu,” katanya yang turut memberitahu datuk beliau masih aktif berkebun, menanam sayur dan membela ayam di rumah.
Mat Zin yang memiliki 14 anak, lebih 200 cucu dan cicit serta sudah menimang lima cuit, menjadikan beliau antara warga emas masih aktif dan disayangi keluarga besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram