Tular kad kahwin 1963, pengantin perempuan masih sihat di usia 90 tahun


  • Cinta
  • Rabu, 10 Dis 2025

Jika kini kad kahwin tampil moden dan pelbagai tema, kad klasik tersebut mengimbau nostalgia suasana perkahwinan zaman dahulu. — Gambar hiasan

SATU kad jemputan perkahwinan bertarikh 1963 yang tular di media sosial mencuri perhatian ramai kerana memaparkan maklumat unik termasuk menyatakan pekerjaan kedua-dua pengantin.

Jika kini kad kahwin tampil moden dan pelbagai tema, kad klasik tersebut mengimbau nostalgia suasana perkahwinan zaman dahulu.

Kad tersebut mengundang orang ramai menghadiri majlis perkahwinan pasangan Che Khadijah Jamid, seorang guru di Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, dengan Enche Osman Yeop, kakitangan di Pejabat Kesihatan Teluk Anson (kini dikenali sebagai Teluk Intan).

BACA LAGI: 'Tahun lepas datang dengan kepedihan, kali ini nangis syukur', Bella Astillah berlapang dada terima ketentuan

BACA LAGI: 'Tahun lepas datang dengan kepedihan, kali ini nangis syukur', Bella Astillah berlapang dada terima ketentuan

Menariknya, kad itu turut memaparkan tentatif majlis yang memaklumkan bahawa sesi jamuan dijadualkan dari pukul 1 hingga 3 petang, manakala pengantin bersanding pada pukul 4 petang.

Hal itu agak berbeza dengan zaman sekarang, apabila pasangan yang mengadakan majlis pada waktu siang lazimnya bersanding sekitar pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, bergantung pada susunan program masing-masing.

Tularnya kad itu menyebabkan ramai berkongsi rasa kagum terhadap nilai sentimental dan cara masyarakat dulu menampilkan informasi ringkas namun padat dalam jemputan kahwin.

Menjengah ke ruangan komen, pengguna Facebook dengan nama akaun Syahirah Rameli tampil memberitahu, pasangan pengantin dalam kad berkenaan merupakan datuk dan nenek saudara kepada suaminya.

Tangkap layar komen Syahirah mengenai kad undangan perkahwinan tersebut.

"Nenek saudara kami Che Khadijah (pengantin dalam kad) ini masih lagi sihat. Umur dah dekat 90 tahun sekarang.

"Alhamdulillah doakan dia sihat sejahtera sentiasa,” tulisnya.

Syahirah turut berkongsi, kerjaya sebagai penjawat awam sudah lama menjadi tradisi keluarga berkenaan.

“Ada jugalah tinggalan sejarah sebab moyang suami pun keturunan kerja kerajaan, anak cucu pun sama Yeop.

"Moyang seorang guru di Kampung Gajah dan berasal dari Pulau Tiga. Anaknya, Opah Lijah (Che Khadijah) pun guru juga. Alhamdulillah cicit pun buka sekolah walaupun tak kerja kerajaan,” katanya berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram