Buat 'live' demi bantu 'affiliate', Siti Nurhaliza titip harapan anak-anak teruskan legasi perniagaan


  • Sukses
  • Khamis, 11 Dis 2025

Siti Nurhaliza Tarudin bukan hanya berdiri sebagai ikon muzik tanah air, malah usahawan yang konsisten membina empayar kecantikannya sendiri. — Instagram/ctdk

FIGURA Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bukan hanya berdiri sebagai ikon muzik tanah air, malah usahawan yang konsisten membina empayar kecantikannya sendiri.

Meniti 15 tahun perjalanan jenama SimplySiti, beliau kini lebih matang dalam strategi, lebih berhikmah dalam persaingan dan utuh dengan impian untuk melihat legasi itu diwarisi anak-anaknya.

Di tengah lambakan produk kecantikan tempatan yang muncul bak cendawan selepas hujan, beliau tidak melihat fenomena itu sebagai ancaman, sebaliknya peluang dan ruang rezeki yang terbuka luas buat semua usahawan.

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza perkenal scrub garam Himalaya, produk solekan terbaharu, rai peminat di Spa Day Eksklusif

BACA LAGI: [VIDEO] Siti Nurhaliza dedah 'rahsia' tidak muncul di KLFW, bukan tak hargai pereka tapi...

Menurut beliau, cabaran dalam industri kecantikan menuntut pengusaha tampil lebih kreatif dan inovatif agar terus relevan dalam pasaran.

“Memang pengasas baharu pun banyak, tapi saya mengalukan kehadiran mereka.

"Rezeki ini luas, yang penting bagaimana kita menghasilkan produk berkualiti dan kekal kreatif,” katanya kepada Majoriti.

Siti Nurhaliza berkata, cabaran dalam industri kecantikan menuntut pengusaha tampil lebih kreatif dan inovatif agar terus relevan dalam pasaran. — Instagram/ctdk

Akuinya, sejak awal penubuhan, SimplySiti disasarkan untuk berdiri sebaris jenama antarabangsa, sekali gus memastikan produknya bukan sekadar bersaing di pasaran tempatan.

Kini jelasnya, produk SimplySiti dipasarkan secara eksklusif di salah satu kedai rangkaian penjagaan kesihatan dan kecantikan terkemuka di Asia bagi jualan fizikal, selain memperluas capaian melalui platform e-dagang dan laman web rasmi.

“Untuk meluaskan pasaran, kita tidak boleh tertumpu pada kedai fizikal saja.

"Platform dalam talian menjadi medium besar untuk kami capai pengguna,” tambahnya.

Menariknya, setiap produk SimplySiti dibangunkan bersama pasukan saintis bermula dari formulasi asas sebelum dikomersialkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan, bahan yang digunakan diiktiraf halal, berkualiti tinggi dan mesra vegan bagi memenuhi keperluan pengguna masa kini.

Dengan persaingan industri yang semakin sengit, Siti Nurhaliza percaya nilai jenama dan kepercayaan pelanggan akan terus menjadi tonggak kekuatan SimplySiti untuk kekal relevan dalam industri kecantikan.

“Pengguna setia tahu perbezaan dan kekuatan produk kami. Kualiti, bahan premium dan formulasi sendiri adalah identiti SimplySiti,” katanya.

Siti Nurhaliza (kiri) ketika dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM. — Instagram/ctdk

Siaran langsung

Dalam memastikan jenama kecantikan miliknya terus berkembang seiring perubahan trend pemasaran digital, Siti Nurhaliza tidak hanya bergantung pada kaedah promosi konvensional.

Malah, pelantun lagu Menamakanmu Cinta itu kerap melakukan sesi siaran langsung di platform media sosial.

Bukan sekadar promosi, beliau mengakui langkah itu berfungsi sebagai suntikan semangat kepada rangkaian affiliate di bawah naungannya.

“Boleh katakan ia membantu. Saya memang suka berniaga dan apabila buat siaran langsung, ia bukan dibuat saja-saja.

"Bila saya buat live, affiliate boleh guna rakaman tersebut untuk buat konten mereka. Ini juga sebahagian strategi pemasaran kami, bukan hanya untuk syarikat tetapi bantu mereka dapatkan bahan promosi,” ujar penyanyi tersohor itu.

Berbicara lanjut, jelas beliau lagi, sifat tidak malu, berani mencuba, rajin dan sentiasa mahu belajar merupakan asas penting untuk berjaya dalam dunia perniagaan.

“Kita sebagai usahawan perlu berusaha memperbaiki diri, ada ilmu dan minat. Itu yang paling utama,” ungkapnya yang melancarkan jenama SimplySiti pada Mac 2010.

Siti Nurhaliza memasang impian untuk melihat legasi perniagaan diwarisi anak-anaknya. — Instagram/ctdk

Legasi

Dalam keghairahan membangunkan legasi jenama kecantikannya, beliau yang dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada November lalu tidak menafikan turut menanam harapan agar bisnes berkenaan kelak dapat diwarisi generasi seterusnya.

Menariknya, bakat dan minat dalam dunia keusahawanan dilihat sudah mula bercambah dalam diri anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid.

Ketika ditanya sama ada kanak-kanak berusia tujuh tahun itu pernah membantu mempromosikan produk, wanita kelahiran Temerloh, Pahang itu mengakui, perkara tersebut sudah pun mula kelihatan.

“Aafiyah pun memahami. Dia tahu saya ada produk sendiri. Malah dahulu dia juga pernah ada produk minuman sendiri, BeauKids," ceritanya.

Bagaimanapun, produk berkenaan buat masa ini tidak diteruskan kerana beliau mahu memberi tumpuan terhadap rangkaian utama SimplySiti.

Namun kongsi Siti Nurhaliza, keinginan anaknya untuk kembali menghasilkan produk sendiri tetap ada.

“Dia ada tanya, ‘ibu bila produk Aafiyah nak buat?’ Dia memang suka. Saya nampak ciri-ciri usahawan pada dia,” katanya yang percaya pendedahan sejak kecil menjadikan anaknya lebih berani dan matang.

Beliau berharap minat tersebut akan terus berkembang seiring peningkatan usia, sekali gus membuka peluang untuk legasi perniagaan yang dibinanya diteruskan pada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram