SEORANG wanita berkongsi pengalaman tidak dapat dilupakan ketika menunaikan umrah bersama suami dan dua anak mereka.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sedang melakukan tawaf, sebelum anak sulungnya yang berusia enam tahun tiba-tiba mengadu kepenatan sewaktu memasuki pusingan kelima.
Ujar beliau, suaminya kemudian bertindak menggendong anak mereka, namun lama-kelamaan tidak lagi mampu menampung berat tubuh si kecil.
"Saya buntu kejap, kalau nak angkat anak sulung dan serahkan bayi kepada suami, macam renyah sebab masa itu orang tetap berjalan," ceritanya menerusi hantaran di akaun Threads dengan nama khalisah_hazrina pada Selasa.
Dalam keadaan buntu ujarnya, tiba-tiba muncul sepasang suami isteri yang menawarkan pertolongan tanpa diminta.
"Sir, biar saya dukung anak sir, tolonglah sir,” kata lelaki berkenaan seperti diceritakan.
Kongsinya lagi, beliau dan suami pada mulanya berasa ragu-ragu untuk menerima bantuan, namun mereka akhirnya menepis rasa sangsi tersebut dan percaya tiada perkara buruk akan berlaku di hadapan Kaabah.
Mereka kemudian melakukan tawaf bersama hingga selesai, sebelum berhenti menghadap Kaabah.
Ketika itulah pasangan asing tersebut menangis dan membuka cerita sebenar di sebalik tindakan mereka.
Menurut lelaki itu, beliau dan isterinya telah berkahwin lebih 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat.
Mereka datang menunaikan umrah dengan satu doa, agar ALLAH SWT mengurniakan anak atau sekurang-kurangnya memberi peluang merasai nikmat menjadi seorang bapa walaupun seketika.
“Hati saya tergerak untuk tolong sir bawa anak, Allahuakbar perasaan bawa anak kecil depan Kaabah sambil tawaf itu sangat bahagia.
"ALLAH SWT jawab doa saya, dapat saya perasaan sebagai ayah walaupun pinjaman,” kata lelaki itu.
Wanita berkenaan dan suaminya terharu lalu mengangkat tangan bersama pasangan itu, berdoa agar mereka dikurniakan cahaya mata.
"Kami pun pelik dengan diri sendiri, kami angkat tangan berdoa bersungguh-sungguh untuk orang lain, untuk orang yang kami tak pernah kenal.
"Memang kami harap doa ini dimakbulkan ALLAH, bunyi macam pelik, tapi percayalah di depan Kaabah, semua benda nampak pelik itu yang ALLAH benarkan berlaku.
“Momen itu nampak mudah dan sekelip mata berlaku, tapi impaknya besar buat kami sekeluarga. Semoga lelaki dan isteri tersebut ALLAH makbulkan doa mereka,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
