'Sekolah Putrajaya tapi rumah di Rawang', ramai ibu bapa didakwa tipu alamat, penduduk asal terpaksa sekolahkan anak di luar daerah penempatan


  • Bonda
  • Rabu, 10 Dis 2025

Isu kekurangan sekolah, pendaftaran murid dan syarat penempatan sering menjadi polemik saban tahun, terutama di kawasan urban. — Gambar janaan AI

ISU kekurangan sekolah, pendaftaran murid dan syarat penempatan sering menjadi polemik saban tahun, terutama di kawasan urban.

Baru-baru ini timbul dakwaan segelintir ibu bapa didakwa menggunakan alamat palsu bagi memastikan anak mendapat tempat di sekolah pilihan mereka.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook sehingga mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: Ibu mengaku bersalah tipu alamat rumah semata-mata nak daftar anak belajar di sekolah ‘popular’

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu anak OKU terasa beban, perbelanjaan sekolah meningkat, mohon kerajaan tambah elaun bulanan

"Penduduk Putrajaya marah dan geram kerana ada ibu bapa yang tipu alamat untuk anak mereka dapat tempat di sekolah," tulisnya pada Isnin.

Tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah penduduk setempat.

Menjengah ke ruangan komen, pemilik akaun bernama X1X4N mengakui, memang ada ibu bapa sanggup berbuat demikian walaupun tinggal jauh dari kawasan pentadbiran itu.

“Menyusahkan warga Putrajaya, siap ada tinggal di Cyberjaya tapi kerja di Putrajaya, sanggup mementingkan diri sendiri. Sampai tinggal di Rawang pun anak sekolah di Putrajaya,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Azmah Abdul Aziz pula berpandangan, kekurangan sekolah baharu mungkin menjadi punca ibu bapa memilih jalan tersebut.

“Sekolah memang tak cukup di kawasan sekitar Putrajaya. Kawasan banyak sangat perumahan tapi sekolah baharu tak dibina.

"Ya memang salah tipu alamat untuk dapat tempat di sekolah Putrajaya, tapi KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) kena tangani akar kepada masalah ini, bukan setakat di peringkat permukaan saja,” katanya.

Sementara itu, kongsi Yong Nori, sesetengah sekolah sudah mewajibkan bil utiliti sebagai pengesahan alamat ketika pendaftaran murid.

“Dekat tempat saya ibu bapa kena bawa bil air dan elektrik semasa daftar anak masuk sekolah untuk sahkan kami benar-benar tinggal di kawasan tersebut,” jelasnya.

Tangkap layar antara pandangan ibu bapa mengenai dakwaan ibu bapa tipu alamat rumah.

Namun, tidak semua warga maya meletakkan 100 peratus kesalahan terhadap ibu bapa. 

Ji Ghazi mengajak masyarakat melihat isu tersebut dari sudut yang lebih luas, terutamanya berkaitan jarak tempat kerja dan kekangan rutin harian.

“Pertama, apa pun keputusan ibu bapa, kita tak boleh terus anggap salah. Kadang-kadang mereka ‘nak hidup’.

"Kedua, tengoklah tempat mereka bekerja. Jika rumah di Nilai, Negeri Sembilan, kerja pula di Putrajaya, sekolah di Nilai tiada siapa nak ambil anak.

"Sudah tentu mereka memohon sekolah dekat tempat kerja,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan, penyelesaian jangka panjang memerlukan penambahan sekolah di kawasan berpenduduk padat dengan mengambil kira tumpuan pekerjaan seperti Putrajaya yang ramai dihuni keluarga muda.

“Dengan sekolah yang banyak, dapat diselesaikan juga masalah satu kelas sampai 40 orang. 

"Jawapan untuk tambah sekolah bergantung kepada garis panduan kementerian,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram