Label item antara 5 tip 'spring cleaning' detoks kediaman, cipta ruang lebih lapang


  • Relaks
  • Khamis, 24 Apr 2025

Semakin ramai orang mahukan ruang yang benar-benar memudahkan kehidupan mereka.

SESEKALI, kita perlu mengambil masa untuk mengemas dan menyusun rumah agar kekal bersih dan teratur.

Jika anda sedang bersemangat untuk mengatur semula ruang kediaman, tip daripada Brittani Allen, Pengasas Pinch of Help, sebuah syarikat pengurusan rumah di Atlanta, Amerika Syarikat mungkin boleh menjadi panduan.

Menariknya, beliau bukan sahaja membantu keluarga biasa, malah pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Rick Ross.

BACA LAGI: Kreatif 'makeover' almari lama, kertas hiasan dinding ubah rupa perabot persis rotan mahal

BACA LAGI: [VIDEO] Pakar mental ulas lelaki ketagih 'tengok' wanita hamil, hidap penyakit maiesiophilia

Perjalanan Allen bermula dengan satu detik kesedaran.

“Saya selalu mengemas, tapi rumah tetap nampak serabut,” katanya dalam satu temu bual bersama The Atlanta Journal-Constitution.

“Semuanya berubah selepas saya peruntukkan sebulan penuh untuk menyusun semula setiap ruang.”

"Sebulan itu bukan sahaja transformasi kepada rumahnya, malah mengubah keseluruhan hidupnya.

“Ramai mula minta bantuan, jadi saya ambil keputusan untuk jadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.”

Sistem bertahan, bukan sekadar cantik

Musim bunga bagi Allen bukan sekadar masa untuk bunga berkembang ia juga waktu terbaik untuk ‘meringankan beban’ dalam rumah.

“Kemasan sebenar bukan sekadar buang barang. Ia tentang membina sistem yang menyokong gaya hidup harian kita,” katanya.

Jika dulu orang sibuk hias pantri ala Pinterest, kini trend berubah.

“Ramai tak mahu ruang yang hanya nampak cantik. Mereka mahu ruang praktikal dan memudahkan hidup.”

Masalah biasa: surat merata-rata

Allen berkongsi bahawa surat dan dokumen penting sering ‘hilang’ dalam rumah kerana tiada tempat khusus.

“Kadang surat boleh berada di tepi katil, dapur, malah bilik air,” katanya.

Solusinya mudah, sediakan satu tempat khas untuk semua kertas masuk dan pastikan semua ahli rumah tahu tempat itu.

Kereta juga perlukan perhatian

“Anda pasti terkejut berapa banyak barang terkumpul dalam kereta,” katanya sambil ketawa.

“Bila tak jumpa barang, saya dah tahu mesti ada dalam kereta.”

Tip Allen? Anggap kereta seperti salah satu bilik rumah. Setiap kali keluar, buat ‘sapuan’ cepat untuk bersihkan resit dan barang rawak.

Kurangkan tuala kertas, guna kain kapas

Allen turut berkongsi perubahan kecil yang memberi impak besar menggantikan tuala kertas dengan kain kapas.

“Saya beli 50 helai kain kapas dengan harga satu pek besar tuala kertas. Sekarang kami guna untuk semua perkara,” katanya.

Kain-kain itu diletakkan dalam laci label sebelah bersih, sebelah kotor. Praktikal dan menjimatkan.

Di mana nak mula?

Jika anda rasa terlalu banyak nak dikemas, Allen sarankan mulakan dengan dapur dan bilik air.

“Dapur ialah ruang yang paling banyak digunakan. Bila dapur teratur, ia beri tenaga positif sepanjang hari,” katanya.

Label adalah kunci

Nasihat terakhir Allen? Labelkan semuanya.

“Tak kisah bekas lutsinar atau bakul fabrik, label bantu sistem kekal berjalan.”

Rumah yang bersih memang menyenangkan. Tapi rumah yang tersusun rapi? Di situlah letaknya ketenangan sebenar. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram