
BUKAN sekadar melutut dan menghulurkan sebentuk cincin, seorang lelaki, Marcelo Coelho kreatif menggunakan cara luar biasa untuk melamar cinta hatinya.
Jejaka juga pengarah kreatif menarik perhatian ramai apabila menggunakan kecerdasan buatan (AI) menghasilkan trailer animasi ala-ala filem Disney sebagai kejutan lamaran buat kekasihnya, Jéssica Uinny.
Dalam hantaran di Instagram, Marcelo berkongsi rakaman mereka menonton trailer tersebut bersama.
Pada mulanya, video itu kelihatan seperti animasi romantik biasa, namun penghujungnya tertera tulisan, “Berkahwinlah musim bunga ini... mungkin sekarang”.
BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas
Serentak dengan tayangan itu, Marcelo mengeluarkan cincin sebenar dari poketnya dan melutut sebagai tanda mahu melamar Jéssica secara realiti.
Kekasihnya yang terharu menahan sebak sebelum mengangguk dan menyarungkan cincin tersebut ke jarinya.
“Jawapan paling mudah... Ya! Saya melamar Jéssica Uinny menggunakan AI," kata Marcelo.
Lamaran berkonsep unik itu bukan sahaja mencuri perhatian kerana keindahan visual, tetapi kerana usaha dan ketelitian luar biasa di sebaliknya.
Sebagai pengarah kreatif, Marcelo menggunakan kepakarannya untuk merancang, menulis dan menghasilkan video dengan mutu sinematik menyerupai filem Disney sebenar.
Di ruangan komen, ramai memuji kesungguhan dan dedikasinya.
“Saya suka apabila seseorang sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang untuk membahagiakan insan yang disayangi. Cinta masih wujud!," kata Ahmed Hady.
“Sangat comel! Dia lakukan dengan begitu baik. Semoga bahagia selamanya," kata Dalijah Amelia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram