Cinta selepas kahwin bertukar mimpi ngeri, wanita didesak suami jadi penjamin hutang 'ah long' RM30,000


  • Cinta
  • Ahad, 24 Ogos 2025

Wanita terlibat mendapati suaminya ada membuat pinjaman sebanyak RM30,000 dengan ah long ketika mereka sedang berbalas mesej. — Gambar hiasan/Janaan AI

TREND berkahwin muda dan bercinta selepas nikah tidak selalu membawa kebahagiaan. Lebih perih, jika pasangan mempunyai detik hitam yang dirahsiakan daripada orang sekeliling.

Baru-baru ini seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa berdepan masalah rumah tangga selepas suaminya meminta kad pengenalannya untuk dijadikan penjamin gara-gara berhutang dengan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau 'ah long'.

Menerusi perkongsian di akaun PoCket Kedah di Facebook, wanita yang enggan mendedahkan identitinya itu menceritakan bahawa beliau baru sahaja tiga bulan mendirikan rumah tangga dengan lelaki berusia 28 tahun yang dikenalinya melalui dalam talian.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Tolonglah, saya tak boleh', wanita Semporna berjurai air mata lihat wajah pelanggan mirip arwah bapa

BACA LAGI: Masih ada yang keliru perlu mandi wiladah lepas bersalin, ketahui hukum, situasi haram sudut Islam

"Saya pernah keluar sekali je dengan dia, kemudian dia ajak kahwin. Saya pun tak boleh berfikir ketika itu, terikut-ikut trend kahwin muda yang bercinta selepas nikah," tulisnya pada hantaran yang disertakan beberapa keping foto tangkap layar perbualan mesejnya bersama suami.

Beliau mendakwa, selepas berkahwin mereka jarang tinggal bersama berikutan beliau masih menuntut di sebuah universiti di selatan tanah air, manakala suaminya bekerja di Selangor.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, beliau hanya mendapat sokongan keperluan daripada suaminya dan bergantung kepada pinjaman pelajaran untuk menampung kehidupan seharian.

"Makan minum saya ketika jumpa memang dia yang tanggung tapi duit poket dia tak bagi. Saya hidup guna duit pinjaman sahaja, macam zaman bujang.

"Kami berjumpa sebulan sekali. Saya pun faham dia tak berduit sangat," luahnya.

"Situasi rumah tangga itu bertambah rumit apabila wanita berkenaan merasakan dirinya hamil selepas mengalami alahan dan lewat haid. Namun katanya, suaminya bertindak marah ketika diminta menemani ke klinik.

"Saya mesej suami saya untuk temankan saya ke klinik. Sejam kemudian dia hantar mesej, minta gambar kad pengenalan, alamat rumah ibu bapa.

"Rupa-rupanya dia ada hutang dengan ah long sebanyak RM30,000," tulisnya.

Lebih mengejutkan, wanita itu mendakwa suaminya mengugut mahu menyerahkan anak dalam kandungan kepada ah long sekiranya beliau enggan menjadi penjamin hutang tersebut.

"Hancur luluh hati saya. Tangan menggigil bila baca mesej tu. Sekarang saya betul-betul tawar hati, malah ada rasa menyesal kahwin dengan dia," katanya lagi.

Beliau turut meminta pandangan warga maya, sama ada perlu membuat laporan polis atas dasar ugutan, memohon fasakh atau berterus terang dengan ibu bapanya terlebih dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram