Bukan sekadar cincin, lelaki ini gigih bina patung raksasa kepala bunga matahari setinggi 9 meter untuk lamar kekasih, buat ramai kagum dengan cinta tulusnya


  • Cinta
  • Ahad, 02 Nov 2025

Arrofi Ramadhan tampil dengan cara berbeza untuk melamar cinta hatinya.

KALAU kebanyakan lelaki memilih cincin atau dekorasi mewah untuk melamar kekasih, seorang lelaki, Arrofi Ramadhan ini tampil dengan cara berbeza.

Dia membina patung gergasi setinggi sembilan meter berbentuk lelaki berlutut dengan kepala bunga matahari, semata-mata untuk meluahkan cinta kepada insan tersayang, Annisa Sekar P.

Detik lamaran yang tular di laman TikTok teman wanitanya, Annisa Sekar P membuatkan ramai tersentuh.

BACA LAGI: Kuku tukar biru, hilang deria rasa, wanita nyaris maut gara-gara makan cendawan enoki, ini penjelasan pakar

BACA LAGI: [VIDEO] Penuntut wanita diejek kerana nama ‘Happi Sleepi’, abang pula Jelli-Bean, ada sebab bapa pilih gelaran unik

Bukan sekadar romantik, tetapi penuh makna dan pengorbanan. Annisa yang sama sekali tidak menyangka akan menerima kejutan tersebut kelihatan sebak selepas melihat patung gergasi berdiri megah di taman yang menjadi simbol cinta dan ketulusan pasangannya.

“Aku buat patung bunga matahari raksasa ini untuk kekasihku. Aku tahu betapa dia mencintai bunga itu,” kata Arrofi.

Tiga bulan ambil masa untuk siap

Arrofi bukan sekarang mencari idea tetapi dia sendiri yang merancang, memotong styrofoam, mengecat dan mengangkut patung tersebut ke taman tempat lamaran berlangsung. 

Semuanya dilakukan tanpa menggunakan khidmat profesional.

Lebih mengagumkan, projek itu melibatkan 35 orang rakan dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. 

Menurut Annisa, patung berkenaan seberat sekitar 500 kilogram dan jika berdiri penuh, ketinggiannya boleh mencecah sembilan meter.

“Proses pembuatan selama tiga bulan, melibatkan 35 orang. Kalau patung ini berdiri penuh, tingginya boleh capai sembilan meter!” tulis Anissa di Instagram. 

Pada hari lamaran, suasana menjadi penuh emosi. Di bawah sinaran lampu dan bayangan patung bunga matahari raksasa, Arrofi meluahkan hasrat hatinya untuk menjadikan Sekar sebagai pasangan hidup.

“Rancangan, keputusan dan tanggungjawab terbesar yang aku ambil sepanjang 27 tahun hidup. Aku mahu memulakan dan menjalani seluruh hidup aku bersama kamu selamanya,” tulisnya.

Annisa yang tersentuh tidak mampu menahan air mata. Bagi ramai yang menonton, momen itu bukan sekadar lamaran tetapi ia lambang cinta yang diperjuangkan dengan usaha dan keikhlasan sepenuh hati.

Rakaman tersebut kini dibanjiri komen warganet yang kagum dengan kreativiti dan kesungguhan Arrofi.

Ramai yang menganggap lamaran ini akan menjadi kisah kebanggaan buat generasi mereka kelak.

“Suatu hari nanti, ‘Nak, kamu tahu tak ayah kamu dulu lamar mama macam mana? Sampai dibuatnya patung,” tulis Mamalia

“Usaha tahap luar biasa. Bertuah betul awak, Annisa," kata Hrmaa0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram