
MESKIPUN skuad kebangsaan ketika ini dibanjiri pemain warisan, penyokong masih yakin bahawa di luar sana, masih terdapat lambakan bintang yang berkelayakan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Salah seorang daripadanya ialah Isaac Angking yang namanya pernah disebut-sebut kira-kira empat tahun lalu kerana peminat mendapati bahawa ibunya berasal dari Sarawak.
Ketika itu, pemain tengah terbabit mencuri perhatian ramai memandangkan dia beraksi di Amerika Syarikat (AS) buat New England Revolution dengan kehadirannya mampu membawa kesan positif.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan, Setiausaha Agung FAM digantung serta-merta susulan siasatan FIFA
BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi
Isaac dilaporkan menolak tawaran JDT untuk terus kekal di Amerika Syarikat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Malah, bakatnya turut mencuri perhatian gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mahu mendaftarkannya sebagai pemain tempatan jika urusan warisan berjalan lancar.
Bagaimanapun, harapan kedua-dua pihak tidak kesampaian apabila Isaac memilih untuk mewakili Puerto Rico memandangkan dia layak berdasarkan susur galur bapanya.
Keputusan muktamad akhirnya dibuat pada 2021 apabila dia melaporkan diri ke kem latihan negara di Kepulauan Carribean tersebut buat pertama kali ketika berdepan Dominican Republic.
Kehadirannya jelas dihargai pihak kejurulatihan Puerto Rico apabila dia sudah diturunkan sebanyak 16 kali buat pasukan terbabit dengan empat gol sudah dicetak di pentas antarabangsa.
Sumbangannya turut ditagih dalam aksi persahabatan menentang juara bertahan Piala Dunia, Argentina pada Rabu lalu selepas dia diletakkan dalam kesebelasan utama.
Isaac memuktamadkan keputusannya untuk beraksi buat Puerto Rico pada 2021. — Agensi
Perlawanan yang diadakan di Stadium Chase dekat Miami, AS berkenaan menyaksikan skuad bimbingan Lionel Scaloni mudah meraih kemenangan bergaya 6-0.
Kekalahan itu sudah tentu pahit untuk ditelan Isaac dan Puerto Rico meskipun keputusan terbabit tidak memberi kesan besar dan sudah dapat diramal peminat kedua-dua pasukan.
Namun, bagi Isaac secara peribadi, pertembungan berkenaan cukup bermakna buatnya kerana dia dapat bertemu bintang bola sepak global, Lionel Messi yang beraksi 90 minit dalam aksi tersebut.
Pertemuan itu cukup bermakna buatnya apabila dia segera berkongsi fotonya bersalaman dengan pemenang anugerah Ballon d'Or lapan kali berkenaan di laman Instagram peribadinya.
Momen berkenaan diharapkan mampu menjadikan pemain berdarah kacukan Sarawak itu lebih bersemangat dalam kariernya, termasuk dalam membantu Puerto Rico ke Piala Dunia akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram