
SELEPAS abangnya, Al Ghazali selamat mendirikan rumah tangga pada Jun lalu, kini giliran adiknya, El Rumi pula melamar pelakon jelita, Syifa Hadju di lokasi romantik Lauterbrunnen, Switzerland.
Lamaran yang dibuat dua hari selepas ulang tahun pertama hubungan mereka itu benar-benar mengundang rasa teruja dalam kalangan peminat.
Syifa berkongsi momen bersejarah itu menerusi Instagram pada Sabtu, lengkap dengan foto-foto indah berlatar keindahan Pergunungan Alpen.
Dalam gambar yang dimuat naik, El tampil segak mengenakan tuxedo hitam ketika berlutut dan menyarungkan cincin ke jari manis Syifa, yang kelihatan anggun dalam gaun putih labuh.
“Di tempat yang selalu saya impikan, saya mengatakan ya kepada insan yang sentiasa saya anggap sebagai rumah. Bismillah,” kata Syifa.
El Rumi melamar pelakon jelita, Syifa Hadju di Lauterbrunnen, Switzerland.
Detik itu turut diselubungi suasana penuh emosi apabila El kelihatan sebak sebelum melamar, manakala Syifa menutup mulut menahan tangis sebelum menerima cincin berlian yang disarungkan oleh El.
Sementara itu, El turut menulis kapsyen romantik untuk kekasihnya, “Cinta kamu selamanya, sayangku. Bismillah selamanya.”
Pada malam momen istimewa itu, El memberikan kejutan berupa makan malam romantis dan seutas rantai Cartier siri LOVE bernilai kira-kira Rp48 juta (sekitar RM12,100).
Koleksi Cartier LOVE yang ikonik sejak 1969 itu melambangkan cinta abadi dan kini, cincin berlian yang disarungkan El menjadi simbol baharu dalam perjalanan cinta mereka berdua.
Rupanya, lamaran ini sudah pun dibocorkan lebih awal oleh ibu El, Maia Estianty.
Ketika El dan Syifa memuat naik gambar sambutan ulang tahun hubungan mereka baru-baru ini, Maia sempat memberi bayangan bahawa pasangan ini bakal melangkah ke fasa lebih serius.
El Rumi dan Syifa Hadju mula dikaitkan sejak Julai 2024, namun hanya mengesahkan hubungan mereka secara terbuka pada Oktober tahun sama.
Sejak itu, pasangan ini sering menjadi tumpuan peminat kerana dilihat serasi serta saling menyokong kerjaya masing-masing.
El merupakan anak kepada pemuzik legenda Ahmad Dhani dan Maia Estianty, manakala Syifa ialah pelakon muda berbakat besar yang telah membintangi pelbagai filem dan siri popular.
Sebelum ini, abangnya Al Ghazali turut melamar kekasihnya, Alyssa Daguise, di Danau Como, Itali, pada 21 September 2024, sebelum disatukan dalam majlis akad nikah penuh glamor di Hotel St. Regis, Jakarta, Indonesia pada 16 Jun 2025.
Kini, selepas Al bahagia bersama isterinya, tumpuan peminat beralih kepada El yang nampaknya bakal mengikut jejak langkah abangnya tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram