Retrospektif fesyen Ratu Sirikit, martabat sutera Thai di mata dunia


  • Gaya
  • Sabtu, 25 Okt 2025

Thailand berkabung atas kemangkatan Ratu Sirikit pada usia 93 tahun, ikon fesyen diraja yang memartabatkan sutera Thai ke persada global.

BEKAS Permaisuri Thailand, Ratu Sirikit, Ibu Suri kepada Raja Maha Vajiralongkorn, dilaporkan mangkat pada usia 93 tahun, Jumaat.

Kemangkatan baginda disifatkan kehilangan besar dan merupakan salah seorang tokoh wanita Thailand paling berpengaruh dalam sejarah moden.

Peristiwa itu telah menyebabkan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra membatalkan kehadiran di Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Oktober ini.

BACA LAGI: Arab Saudi sekali lagi curi tumpuan, bakal bina stadium terapung pertama dunia dalam bandar konsep menegak

BACA LAGI: Signifikasi di sebalik mengapa karpet Parsi kekal jadi pilihan hiasan kediaman zaman-berzaman

Pejabat Diraja Thailand mengumumkan berita duka itu pada Sabtu, memaklumkan bahawa Ratu Sirikit mangkat di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn akibat komplikasi jangkitan kuman dalam darah (sepsis).

Raja Maha Vajiralongkorn telah menitahkan tempoh berkabung selama setahun bagi kerabat diraja dan pegawai istana, sebagai tanda penghormatan terakhir.

Selain pengabdiannya terhadap kebajikan rakyat, Ratu Sirikit dikenang sebagai Ikon Fesyen Diraja yang memukau dunia dan bertanggungjawab besar dalam memartabatkan industri sutera tradisional Thailand ke persada antarabangsa.

1. Pertemuan di Paris dan inspirasi global

Puteri kepada duta Thailand ke Perancis itu bertemu dengan Raja Bhumibol Adulyadej (Raja Rama IX) di Paris, dan mereka berkahwin pada 1950, sejurus sebelum pertabalan Raja Bhumibol.

Ketika mengadakan lawatan rasmi ke luar negara pada era 1950-an dan 1960-an, Ratu Sirikit mula menarik perhatian dunia fesyen.

Penampilan elegan baginda sering menghiasi muka depan majalah antarabangsa ternama seperti LIFE dan TIME, memperkenalkan citra diraja Thailand ke pentas global.

2. Kerjasama abadi dengan Pierre Balmain

Keanggunan Ratu Sirikit mencapai kemuncak apabila baginda memulakan kerjasama selama 22 tahun dengan pereka couturier Perancis terkenal, Pierre Balmain.

Balmain bertanggungjawab mencipta lebih 30 busana bergaya untuk baginda, merangkumi gaun siang hari, koktel dan busana malam.

Busana-busana itu merupakan gabungan sempurna antara haute couture Perancis dengan inspirasi kuat daripada warisan budaya Thailand, terutamanya melalui penggunaan sutera Thai yang halus.

Rekaannya berjaya menonjolkan kedua-dua keanggunan moden antarabangsa serta identiti budaya yang kukuh.

3. Memperkenalkan 'Thai National Costume'

Ratu Sirikit juga memainkan peranan penting dalam penciptaan dan promosi pakaian kebangsaan rasmi Thailand yang dikenali sebagai 'Thai National Costume' (Chut Thai), yang menggabungkan reka bentuk tradisional dengan sentuhan moden.

Sumbangan baginda dalam bidang kraf dan pemeliharaan warisan tekstil telah diiktiraf secara meluas, dengan penubuhan Muzium Tekstil Ratu Sirikit di Bangkok.

Sebagai tanda berkabung dan penghormatan kepada mendiang baginda, Perdana Menteri Thailand telah mengambil keputusan untuk membatalkan kehadiran di Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung.

Pembatalan itu menunjukkan betapa besar pengaruh dan kedudukan Ratu Sirikit dalam hati rakyat dan institusi diraja Thailand.

Perdana Menteri dijangka kekal berada di negara itu untuk menguruskan upacara rasmi dan urusan diraja susulan kemangkatan bekas Ratu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram