[VIDEO] Nadia Brian konsisten 3 kali seminggu ke gim, setidaknya 'brisk walk' demi gaya hidup sihat


  • Sukses
  • Isnin, 08 Dis 2025

Nadia menetapkan jadual bersenam secara tetap setiap minggu bagi memastikan dirinya kekal aktif. — Instagram/nadia.brian

BIARPUN jadual padat dengan penggambaran dan komitmen seni, aktres Nadia Brian, 34, mengakui dirinya kini lebih disiplin dalam menjaga kesihatan diri.

Menurut pemilik nama Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu, keputusan menukar gaya hidup kepada lebih sihat memberi banyak perubahan positif buat dirinya, termasuk dari segi tenaga, fokus dan kestabilan emosi.

Kongsinya, beliau juga kini semakin aktif bersenam di gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

BACA LAGI: Busana tradisional digayakan selebriti di 'red carpet' FFM34 curi tumpuan, tampak anggun dan glamor!

BACA LAGI: Nadia Brian tak tutup pintu hati, doa jumpa lelaki boleh bimbing ke jalan ALLAH

 

 

“Selepas mengambil keputusan untuk hidup lebih sihat, saya rasa lebih bertenaga," katanya kepada Majoriti.

Nadia memeritahu, meskipun sudah lama bersenam di gimnasium, konsistensi sebelum ini sering terganggu dek komitmen kerja yang tidak menentu.

Namun kini, pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu menetapkan jadual bersenam secara tetap setiap minggu bagi memastikan dirinya kekal aktif.

“Dulu tak konsisten sebab penggambaran tapi sekarang saya ikut jadual, seminggu tiga kali mesti workout. Setiap hari pun kena juga buat sedikit senaman,” jelasnya.

Tambahnya lagi, rutin tersebut nyata memberi impak positif dalam kehidupan harian, khususnya dari segi kesihatan mental dan fizikal.

Malah, aktres berdarah campuran Melayu-Australia itu mengakui beliau lebih bertenaga, fokus dan bahagia.

"Saya sarankan kepada semua, kalau rasa letih atau umur makin meningkat, please workout,” katanya.

"Sebenarnya ia bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri juga,” ujarnya.

Rutin senaman memberi impak positif dalam kehidupan harian Nadia. — Instagram/nadia.brian 

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih mengambil berat tentang kesihatan, selain menegaskan permulaan tidak semestinya perlu drastik atau terlalu ketat.

“Tak perlu terus diet ketat atau lakukan senaman berat. Mulakan dengan brisk walk, amalkan makanan sihat dan yang paling penting konsisten.

"Apa pun dalam hidup kita kena konsisten baru boleh nampak hasil,” katanya yang dilahirkan di Kangar, Perlis, namun dibesarkan di Kelantan.

Naskhah seram

Menyentuh mengenai perkembangan terbaharu sebagai anak seni, Nadia memaklumkan baru sahaja menamatkan penggambaran drama 40 episod.

Itu katanya, adalah pengalaman pertama beliau menjalani projek bersiri yang panjang.

Tidak hanya itu, Nadia juga bakal tampil dengan sebuah naskhah seram baharu dan dijadualkan terbang ke Indonesia pada Januari tahun depan bagi menyambung penggambaran filem tersebut.

“My dream come true. Saya memang impikan untuk mewakili Malaysia dan membawa nama negara ke luar melalui bakat saya,” kongsinya mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram