
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza akhirnya membuka mulut mengenai sebab jarang muncul di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW).
Dalam siaran langsung di media sosial, Siti menegaskan ia bukan kerana beliau tidak menghargai dunia fesyen atau para pereka tempatan, sebaliknya kerana kurang selesa hadir sekadar untuk menonton.
“Kalau diberi pilihan, saya memang tidak pergi.
"Bukan saya tidak sokong, semua pereka yang saya kenal adalah rakan saya. Tapi kalau ada tanggungjawab atau tugasan, barulah saya hadir,” kata beliau.
BACA LAGI: Intan Najuwa, Che Ta desak keadilan Zara Qairina tanpa pilih kasih, salah perlu dihukum
Siti turut beranggapan bahawa persiapan menghadiri majlis seperti KLFW memakan masa dan tenaga.
“Satu jam untuk mekap, bersiap dan semua persiapan lain, hampir sama seperti persiapan konsert. Tetapi saya hanya berada di situ sekejap sahaja,” katanya.
Walaupun begitu, pemilik lagu berjudul Cindai itu tidak menafikan minatnya terhadap fesyen.
“Seronok sekali-sekala pergi tengok fesyen, tapi menghadiri Fashion Week bukan perkara utama bagi saya. Kalau ada tugasan, saya hadir. Kalau tidak, saya tidak pergi,” katanya.
Untuk rekod, KLFW kembali menggamatkan ibu kota dengan pertunjukan fesyen gah selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Ogos 2025 di Esplanade, KLCC Park, Kuala Lumpur.
Acara itu menampilkan lebih daripada 55 pereka fesyen dan jenama dalam edisi paling besar setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram