Cuti sekolah lebih lama tahun depan, ibu bapa sudah boleh rancang percutian keluarga awal


  • Bonda
  • Isnin, 08 Dis 2025

Dengan perancangan cuti tahunan yang bijak, masyarakat berpeluang memaksimumkan rehat mereka. — Gambar hiasan

TAHUN 2026 dijangka memberi kelebihan kepada pekerja untuk menikmati tempoh cuti lebih panjang, susulan beberapa cuti umum jatuh berdekatan hujung minggu. 

Dengan perancangan cuti tahunan yang bijak, masyarakat berpeluang memaksimumkan rehat mereka.

Difahamkan, sebanyak 15 cuti umum persekutuan yang disenaraikan oleh Jabatan Perdana Menteri boleh dilanjutkan sehingga 52 hari cuti sepanjang tahun, tidak termasuk cuti umum peringkat negeri.

BACA LAGI: Rancang aktiviti cuti sekolah lebih awal, ibu bapa digalakkan bincang dengan anak perkara disukai, elak tekanan

BACA LAGI: KPM umum 3 hari cuti sekolah tambahan sempena Aidilfitri

Sebagai contoh, sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari (Selasa dan Rabu) memberi ruang kepada pekerja untuk bercuti selama seminggu penuh sekiranya mereka memohon cuti pada Isnin, Khamis dan Jumaat.

Sementara itu, Hari Raya Aidiladha dijangka jatuh pada 27 dan 28 Mei (Rabu dan Khamis). 

Dengan mengambil cuti pada hari Jumaat, mereka yang meraikannya boleh menikmati cuti sehingga lima hari termasuk hujung minggu.

Bagi rakyat Sarawak pula, cuti umum Gawai pada 1 dan 2 Jun (Isnin dan Selasa) bertembung dengan cuti Wesak pada 31 Mei (Ahad) serta Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Jun. 

Gabungan cuti tersebut dijangka memberi tempoh rehat lebih empat hari bermula Sabtu.

(STAND ALONE PICTURE FOR GAWAI) (From left) Enyssa Christeny Freddy, Mohd Sihabuddin Sa'at, Audreynna Clarissia George and Siti Nur Balqis Marais ready to serve traditional snacks to guests at the Sarawak Cultural Village's Gawai open house. Visitors can enjoy local dishes such as pansoh (chicken cooked in bamboo), kuih jala, lemang and rice wrapped in banana leaf at the Iban longhouse during the open house on June 1-2 in conjunction with the harvest festival celebrated by Sarawak’s Dayak community. — ZULAZHAR SHEBLEE / The Star

Cuti umum Gawai pada 1 dan 2 Jun bertembung dengan cuti Wesak serta Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. — Gambar hiasan

Seorang pekerja dari Kuching, Sarawak, Joseph Kaos Jr, 39, berkata, beliau teruja menantikan cuti panjang sempena Gawai.

“Saya boleh menjimatkan cuti tahunan dan masih menikmati cuti panjang untuk meraikan perayaan,” katanya.

Eksekutif komunikasi itu menambah, beliau merancang untuk memandu pulang ke kampung halamannya di Padawan dan mengelakkan penerbangan kerana harga tiket biasanya meningkat ketika musim cuti.

“Dengan berjimat menggunakan cuti tahunan, saya boleh merancang percutian pada musim luar puncak,” ujarnya.

Bagi Eddie Puah, 56, dari Sibu, cuti panjang memberi ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga tanpa perlu ke mana-mana.

“Saya hanya mahu meluangkan masa berkualiti di Sibu termasuk menziarahi rakan beragama Islam dan Dayak bagi memeriahkan semangat rumah terbuka,” katanya yang lebih memilih untuk tidak bercuti jauh demi mengelakkan kesesakan dan tambang penerbangan tinggi.

Dalam perkembangan sama, pemandu pelancong veteran, Shaukani Abbas, 68, berkata, cuti panjang berpotensi meningkatkan pelancongan domestik ke destinasi popular seperti Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka.

Ujar beliau, ia kerana ramai yang akan mengambil peluang untuk bercuti singkat bersama keluarga. 

"Ini akan meningkatkan perbelanjaan pelancongan dan menguntungkan industri, baik pemain kecil mahupun besar,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perancangan awal diperlukan agar peningkatan jumlah pelancong tidak memberi tekanan kepada sektor tersebut.

Tambahnya lagi, cuti panjang boleh menyebabkan destinasi sesak, kekurangan penginapan dan kesesakan jalan raya. 

"Ia boleh menjejaskan kepuasan pelancong,” katanya sambil menambah pekerja barisan hadapan mungkin berisiko mengalami keletihan akibat beban kerja tinggi.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka, Madelina Quah berkata, penjawat awam pastinya antara yang paling gembira kerana dapat menikmati cuti panjang tanpa menjejaskan kuota cuti tahunan.

"Beberapa negeri dijangka meraih manfaat daripada situasi ini, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat," ungkapnya. — The Star/MARTIN CARVALHO

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram