SINAR baharu hadir dalam kehidupan pasangan suami isteri ini apabila dikurniakan tiga anak kembar, setahun selepas tragedi menimpa zuriat sulung mereka yang meninggal dunia di sebuah taska dekat Melaka sebelum ini.
Menjalani rawatan persenyawaan In-Vitro (IVF) tajaan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah, Mohd Fikry menitipkan ucapan terima kasih atas bantuan tersebut selain mensyukuri kelahiran zuriatnya pada Jumaat.
"Alhamdulillah syukur ke hadrat ALLAH SWT, patik menjunjung kasih Tuanku di atas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral, jutaan terima kasih juga kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kami," ujarnya di laman Instagram.
BACA LAGI: Simbolik usia Tunku Azizah, TAFF taja 65 pasangan jalani rawatan IVF
BACA LAGI: Adik 'perit' hilang bayi 11 bulan, abang gesa pemilik lembu tampil tanggungjawab kemalangan di Bera
Menurutnya, isterinya telah selamat melahirkan tiga bayi perempuan (triplet) secara pembedahan caesarean di Hospital Melaka pada Jumaat sekitar 9.40 pagi.
Beliau dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan yang menjaga isterinya sepanjang 73 hari pemantauan di hospital, serta mendoakan agar segala jasa mereka dibalas dengan kebaikan.
"Al-Fateh pasti tersenyum di taman syurga tengok mummy daddy dia sekarang ni, rindu Fateh," coretnya menyentuh hati.
Untuk rekod, anak sulung pasangan itu, Al-Fateh, dilaporkan meninggal dunia tahun lalu selepas didakwa didera pengasuh di sebuah taska dekat Taman Kelemak Utama, Melaka.
Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34 tahun, telah didakwa membunuh bayi lelaki berusia 11 bulan itu sekitar pukul 7.30 hingga 8.30 pagi pada 6 September 2024.
Siasatan mendedahkan bayi berkenaan baru lima hari dihantar ke taska tersebut dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengasuh terbabit dilihat membedung, menyumbat botol susu, menutup muka bayi dengan kain dan menekupnya menggunakan bantal, menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian, pengasuh berkenaan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) IPK Melaka dan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah di atas kelahiran cahaya mata kembar tiga tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) buat pasangan suami isteri tersebut.
Ketiga-tiga bayi berkenaan merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang daripada ibu bapa serta insan di sekeliling mereka.
Di sebalik ujian dihadapi, Mohd Fikry dan isterinya memilih untuk terus bangkit dan berikhtiar mendapatkan zuriat semula melalui rawatan IVF yang dibiayai pihak istana.
Kini, kelahiran tiga cahaya mata perempuan itu disambut penuh kesyukuran bukan sahaja oleh keluarga mereka, tetapi juga warganet yang mengikuti kisah tragedi pasangan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
