
SEORANG wanita berusia 41 tahun di Singapura mengaku bersalah pada 24 September lalu selepas menipu mengenai alamat kediamannya bagi mendaftarkan anak perempuan beliau ke sebuah sekolah rendah di negara itu.
Memetik laporan CNA, wanita tersebut memberikan maklumat palsu mengenai pertukaran alamat kepada pegawai pendaftaran antara Ogos sehingga Oktober 2024.
Identitinya tidak didedahkan susulan perintah larangan penyiaran dikeluarkan mahkamah bagi melindungi identiti anak perempuannya yang berusia lapan tahun.
BACA LAGI: Ibu bapa berdepan denda RM5,000 atau penjara jika gagal hantar anak bersekolah menengah
Menurut dokumen mahkamah, antara 24 Jun hingga 20 September 2024, wanita itu memberi maklumat palsu kepada penjawat awam walaupun sedar ia tidak benar.
Wanita berkenaan memiliki sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang disewakan kepada enam penyewa sejak 2023.
Beliau bagaimanapun tinggal bersama pasangan dan anak perempuannya di alamat lain.
Identitinya tidak didedahkan mahkamah bagi melindungi identiti anak perempuannya yang berusia lapan tahun.
Dalam proses Primary 1 Registration Exercise 2023, beliau mendaftarkan anaknya ke sebuah sekolah di bawah skim kemasukan keutamaan menggunakan alamat flat milik beliau yang berada dalam jarak 1 kilometer (km) dari sekolah berkenaan.
Media melaporkan, sekolah tersebut merupakan institusi yang agak terkenal.
Namun, seorang pentadbir sekolah kemudian menyedari tertuduh telah menghantar e-mel mengenai pertukaran alamat ke kediaman pasangannya yang berada di luar zon kemasukan keutamaan.
Beliau kemudian dimaklumkan bahawa anaknya boleh dipindahkan ke sekolah lain.
Pada Ogos 2024, kakitangan sekolah melawat flat tersebut, namun hanya bertemu penyewa sebelum memaklumkan tiada kanak-kanak tinggal di situ.
Apabila disoal, wanita itu mendakwa dirinya hanya menetap di flat tersebut beberapa hari seminggu, selain turut menandatangani dokumen bagi mengesahkannya.
Beliau turut menghubungi ejen hartanah yang menguruskan penyewa, mengarahkan mereka supaya memberitahu pihak sekolah bahawa beliau dan anaknya tinggal di flat tersebut.
Antara Ogos sehingga Oktober 2024, wanita itu memberi maklumat palsu kepada kakitangan sekolah sekurang-kurangnya lima kali, bagi mengekalkan status pendaftaran anaknya, selain membuat pengisytiharan alamat tidak benar.
Mengaku salah, individu terbabit memohon agar hukuman denda diringankan.
Pihak pendakwaan tidak membantah hukuman denda sebanyak dolar Singapura $10,000 (kira-kira RM33,000).
Namun, menurut CNA, wanita itu yang tidak mempunyai rekod jenayah, merayu agar jumlah denda dikurangkan kerana beliau seorang ibu tunggal yang menanggung dua anak.
“Semua yang saya lakukan hanyalah untuk melindungi anak saya.
"Yang Arif, saya tidak boleh masuk penjara, tiada siapa yang dapat menyara kedua-dua anak saya,” rayunya.
Wanita itu mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan satu lagi pertuduhan memberikan maklumat palsu ketika mengisytiharkan pertukaran alamat.
Satu lagi pertuduhan akan dipertimbangkan ketika hukuman dijatuhkan kelak.
Mengikut undang-undang di Singapura, memberi maklumat palsu kepada penjawat awam boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Memandangkan kesnya melibatkan lima kali kesalahan, wanita itu berdepan hukuman berganda.
Bagi kesalahan memberikan maklumat palsu ketika melaporkan pertukaran alamat pula, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$3,000 (kira-kira RM10,000), atau kedua-duanya sekali. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram