NAMA Anne Samat terus mengharum di persada seni kontemporari antarabangsa melalui karya unik yang menggabungkan gentian, teknik tenunan tradisi dan objek harian menjadi instalasi arca berskala besar.
Artis kelahiran Malaysia itu dikenali dengan pendekatan eksperimentasi yang melangkaui batas konvensional tenunan tradisional, sekali gus menjadikan karyanya bukan sekadar kraftangan.
Sebaliknya ia adalah karya seni bernilai tinggi dengan naratif mendalam mengenai identiti dan jantina.
BACA LAGI: [VIDEO] Karya pernah dianggap lukisan 'conteng-conteng', Mulaika enggan peduli komen skeptikal
BACA LAGI: [VIDEO] 'Terlalu cepat nak berkawan', pakar dedah cara kenal pasti ‘frenemy’ dalam kalangan sahabat
Dalam hasil karyanya, Anne sering menyelitkan objek-objek domestik seperti penapis, sikat dan penyodok ke dalam struktur tenunan, menjadikan setiap karya tampil sebagai visual antropomorfik yang kompleks serta memukau.
Pemilihan bahan yang tidak lazim itu mencerminkan sisi peribadi perjalanan hidupnya, selain menjadi kritikan halus terhadap pandangan seni Barat yang sering memandang rendah nilai kraftangan dari luar dunia Barat.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Seni dan Reka Bentuk daripada Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Institut Teknologi MARA) pada 1995 itu kini menjadi salah seorang figura seni tekstil moden paling berpengaruh di rantau ini.
Terbaharu, karya agung beliau berjudul The Unbreakable Love… Family Portrait (2025) dipamerkan dalam segmen Meridians di Art Basel Miami Beach, Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS).
Walaupun terletak berdekatan dengan karya digital Beeple yang mencuri tumpuan ramai, instalasi Anne tetap menjadi sorotan penting kerana kisah peribadi di sebaliknya.
Karya tersebut menggambarkan tiga kakaknya sebagai simbol sokongan keluarga sepanjang perjalanan kariernya.
Anne, anak kelapan daripada sepuluh beradik itu berkata, sejak 2019 beliau banyak berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Upstate New York.
Dalam tempoh lima tahun, ibu, dua abang dan kakak sulungnya telah meninggal dunia, meninggalkan tiga kakaknya yang kini menjadi sumber kekuatan terdekat.

Anne membuktikan tradisi bukan penghalang untuk berpijak di dunia seni kontemporari. — Agensi
Di bahagian tengah karya, figura ibunya digambarkan sebagai tulang belakang segala-galanya, bersama representasi Samat sewaktu kecil.
“Setiap kali berdepan kesukaran hidup, saya akan hubungi ibu. Pertanyaan pertamanya selalu, ‘apa masalahnya?’
"Di situlah zon selamat saya,” katanya menambah, ibunya pernah berpesan untuk sentiasa rendah hati, berbuat baik dan menyebarkan kasih sayang.
Instalasi itu dihasilkan menggunakan gabungan tenunan loom (merujuk pada kain atau tekstil yang dihasilkan menggunakan alat tenun loom), rotan bercat tangan, penyodok, pedang plastik, kunci, gabus wain, pengapit paip dan pelbagai bahan kitar semula lain.
Kebanyakan bahan dikumpul dari tapak besi buruk berhampiran rumahnya di Cold Spring sebagai usaha menonjolkan nilai objek seharian yang sering dipandang sepi.
“Karya saya adalah jambatan antara lama dan baharu, menggabungkan teknik tenunan berusia ratusan tahun dengan bahan moden yang tidak konvensional,” jelas beliau lagi.
Dengan pendekatan tersebut, Anne bukan sahaja mengangkat seni tekstil warisan Nusantara ke peringkat global, tetapi juga membuka perbincangan baharu tentang hubungan antara seni, identiti dan memori keluarga.
Melalui karya yang sarat jiwa, beliau membuktikan bahawa tradisi bukan penghalang untuk berpijak di dunia seni kontemporari, malah menjadi kekuatan untuk terus bersuara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
