JANUARI ini bakal menjadi bulan paling sibuk buat ibu bapa memandangkan mereka terpaksa menyediakan keperluan persekolahan sesi baharu buat anak-anak, tidak kira dalam kalangan anak normal atau orang kelainan upaya (OKU).
Keperluan ini termasuk pakaian seragam persekolahan, baju sukan, yuran, buku dan tentunya bagi anak OKU adalah keperluan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 2022 mendedahkan, kos membesarkan seorang anak normal mencecah RM400,000 hingga RM1.1 juta bermula daripada kelahiran sehingga ke pendidikan tinggi dan pembiayaan itu makin meningkat jika sesebuah keluarga itu mempunyai anak OKU.
Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Kerajaan Madani menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang diberi secara one-off manakala bagi keluarga yang mempunyai anak OKU, mereka kekal menerima Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMBPK) sebanyak RM150 setiap bulan menyamai RM1,800 setahun. Namun, apakah jumlah bantuan yang diterima itu mencukupi?
Sri Endah Amat Basar, seorang ibu kepada tiga anak yang masing-masing berusia antara tujuh hingga 12 tahun, termasuk seorang anak OKU berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai perbezaan kos pendidikan untuk anak normal dan anak berkeperluan khas.
BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman
Endah mahu kerajaan menambah bilangan kelas prasekolah PPKI termasuk tenaga pengajar supaya dapat meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.
“Bila kerajaan umumkan kenaikan ini untuk tahun yang kedua saya rasa RM150 ni sangat-sangat membantu. Macam saya cakap tadi, perbelanjaan untuk sepasang baju sekolah sekurang-kurangnya kena sediakan RM150. Setidak-tidaknya saya boleh beli yang baharu sepasang. Yang lama mungkin ada yang boleh pakai lagi kan,” jelasnya kepada Majoriti.
Menurut Endah, bantuan itu sangat berharga. Namun, dia berharap agar jumlahnya dapat dinaikkan lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum penjawat awam daripada RM1,500 kepada RM1,700.
"Elaun RM150 setiap bulan sangat membantu, walaupun jumlah ini tidak mencukupi untuk menampung kos terapi bulanan yang boleh mencecah RM200 tetapi ia sedikit sebanyak bantu menampung perbelanjaan terapi anak saya," ujar Endah.
“Apabila gaji minimum dah naik ni, saya tak terkejut kalau harga kelas terapi mereka juga akan naik. Jadi untuk RM150 sebulan tu sebenarnya masih agak rendahlah. Macam yang saya tahu pusat pemulihan dalam komuniti di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dah dinaikkan RM300 sebulan. Kalau boleh bantuan kewangan tu naikkan sehingga RM200 pun jadilah,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Endah juga mengharapkan kerajaan menyediakan lebih banyak pusat terapi di bawah sektor awam yang menawarkan kadar yuran lebih rendah.
"Pusat terapi swasta sangat mahal, kosnya boleh mencecah RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Jadi, saya sangat berharap kerajaan sediakan pusat-pusat terapi di bawah kerajaan ataupun sekurang-kurangnya separa kerajaan yang mampu milik untuk kami,” katanya.
Cahaya mata kedua Endah, Orked Faiha Saiful Azuan yang kini berusia lapan tahun.
Kekurangan prasekolah PPKI
Selain itu, Endah turut menyentuh mengenai kesukaran yang dihadapi ibu bapa untuk mendapatkan kemudahan pendidikan peringkat prasekolah bagi PPKI. Justeru, dia menggesa kerajaan untuk menambah bilangan kelas termasuk tenaga pengajar untuk anak-anak istimewa berkenaan.
“Saya berharap sangat kerajaan dapat menambah kelas-kelas prasekolah PPKI. Ya betul, yang swasta banyak tetapi tak semua orang mampu mengeluarkan belanja sehingga RM2,000 ke RM3,000 sebulan untuk hantar ke Program Intervensi Awal Kanak-kanak (EIP).
“Saya rasa tak ramai pun yang tahu. Prasekolah PPKI ada tetapi tidak banyak. Contohnya, di kawasan saya di daerah Petaling Perdana, mungkin ada dua hingga tiga sekolah sahaja yang menawarkan prasekolah PPKI. Di sekolah anak saya pun hanya ada satu kelas yang boleh menempatkan enam hingga maksimum tujuh orang satu kelas.
Jadi, apabila kementerian buka sahaja permohonan, saya terus hantar permohonan dan Alhamdulillah anak saya dapat. Selepas itu, dia akan terus naik ke tahun satu PPKI,” katanya.
Orked (kanan) masih menghadiri kelas terapi sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan perkembangannya terus berjalan.
Jangan abai masa depan mereka
Endah turut berkongsi nasihat kepada ibu bapa yang ada perasaan malu atau takut untuk mengakui anak sebagai golongan istimewa.
"Jangan disebabkan ego kita, masa depan anak kita terabai kerana anak kita istimewa dan ia bukan satu kekurangan. Jadi, untuk ibu bapa yang masih belum ataupun masih takut untuk mendaftarkan anak sebagai OKU, lebih baik mendaftar kerana terlalu banyak kelebihan yang kita boleh dapat," katanya.
Bagi Endah, perjalanan mendidik anak berkeperluan khas adalah satu cabaran yang besar, namun ia juga adalah pengajaran dan peluang untuk memperkaya pengetahuan dan kemahiran sebagai ibu bapa.
"Walaupun kami berhadapan dengan banyak cabaran, kami tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik buat anak kami. Jangan biarkan rasa malu atau ragu menghalang kita untuk memberi yang terbaik untuk mereka,” tegasnya.
Kos perbelanjaan pendidikan anak normal berbanding anak berkeperluan khas jelas berbeza yang mana anak-anak OKU memerlukan lebih banyak perhatian, terapi, dan kemudahan pendidikan yang lebih spesifik menjadikan kos lebih tinggi.
Oleh itu, Endah menekankan pentingnya kesediaan ibu bapa untuk menimba ilmu dan mengambil inisiatif dalam menyediakan yang terbaik untuk anak-anak mereka.
Harapan utama Endah adalah agar kerajaan dapat terus memperbaiki dan menambah baik sistem sokongan untuk golongan anak berkeperluan khas, termasuk meningkatkan bantuan kewangan dan menyediakan lebih banyak pusat terapi yang mampu milik.
"Kita perlu lebih banyak pusat terapi dan sekolah untuk anak-anak ini. Mereka juga berhak mendapat pendidikan yang berkualiti," ujarnya dengan penuh harapan.
Ikuti perbincangan Eksklusif mengenai kos perbelanjaan anak-anak normal dan anak OKU dalam siri kedua dan sejauh manakah bantuan yang diberikan oleh kerajaan berupaya meringankan beban ibu bapa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram