JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil memberikan respons berhubung luahan seorang graduan ijazah sarjana yang kecewa apabila terpaksa ‘mengorbankan’ kerjaya demi menjadi suri rumah dan menjaga anak sepenuh masa.
Menerusi hantaran di Facebook Bahagian Dakwah Jakim, pihaknya menjelaskan, rasa sedih yang dialami wanita berkenaan adalah wajar dan bukannya petanda kelemahan atau kurang syukur.
“Rasa sedih bila ‘pause’ kerjaya itu bukan sebab lemah tapi sebab minat, potensi dan impian itu wujud,” tulisnya pada Jumaat.
BACA LAGI: Tradisi cop poskad dan setem, 'cara lama' dilupa jangan setiap kali ke tempat orang
Menurutnya, perasaan itu adalah normal dan merupakan tanda hati seorang wanita yang ingin terus berkembang serta menyumbang kepada masyarakat.
Jakim menjelaskan, dalam psikologi Islam, pengorbanan besar untuk keluarga sering membuatkan seseorang melalui fasa kehilangan identiti.
“Dulu ada ‘aku’ versi bekerja. Sekarang ada ‘aku’ versi menjaga keluarga.
"Dua-dua itu bukan musuh, cuma sedang cari tempat masing-masing dalam hidup,” katanya lagi.
Lima perkara penting perlu diingat
Jakim turut berkongsi beberapa pesanan untuk membantu suri rumah memahami nilai diri dan mengurus perasaan:
1. Nilai diri bukan pada slip gaji
ALLAH tidak menilai manusia berdasarkan pendapatan atau jawatan, sebaliknya melalui takwa, sabar dan ihsan.
Jaga anak dengan penuh kasih itu sebenarnya kerja besar.
Itu kerja membentuk manusia, yakni kerja yang membina tamadun.
2. Suami naik kerjaya bukan bermaksud isteri ‘tertinggal’
Lihat suami pergi bekerja dan maju dalam kerjaya mungkin membangkitkan nostalgia dan rasa kehilangan, namun rezeki setiap orang berbeza dan berubah-ubah.
“Mungkin sekarang giliran dia, nanti ALLAH buka pintu rezeki puan pula,” ujarnya.
3. Jangan matikan diri sendiri demi keluarga
Jakim menekankan kepentingan wanita menjaga ruang untuk diri sendiri agar identiti diri tidak hilang.
Antara cadangan yang diberikan:
- Mengambil kursus dalam talian
- Membaca buku dalam bidang diminati
- Melakukan projek kecil dari rumah
- Mengasah semula kemahiran
- Mencari komuniti sokongan wanita
Lama-lama, identiti yang hilang itu akan hidup kembali.
4. Islam menganjurkan keseimbangan
Menurut Jakim, sama ada wanita itu kekal di rumah atau kembali bekerja suatu hari nanti, kedua-duanya adalah ibadah jika dilakukan dengan ikhlas.
Yang penting, jangan rasa diri tak bernilai.
5. Berkomunikasi dengan suami secara jujur dan lembut
Jakim turut menyarankan dialog terbuka antara suami dan isteri mengenai hal ini.
“Saya bangga tengok abang berjaya. Cuma hati saya kosong sebab saya rindu nak kerja. Boleh kita bincang masa depan saya nanti?”
Hantaran itu turut menegaskan golongan suri rumah bukanlah gagal, sebaliknya sedang melalui fasa hidup yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan.
Pengorbanan sementara tidak bermaksud masa depan tertutup.
"ALLAH boleh hidupkan kembali apa saja bila tiba waktunya," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
