[VIDEO] 'Terlalu cepat nak berkawan', pakar dedah cara kenal pasti ‘frenemy’ dalam kalangan sahabat


  • Cinta
  • Ahad, 07 Dis 2025

Sikap terburu-buru hendak berkawan adalah petunjuk pada kewujudan fenomena 'frenemy'. — Gambar hiasan

PENULIS terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), Robert Greene yang terkenal dengan karya-karya psikologi kuasa dan tingkah laku manusia mendedahkan bagaimana individu boleh mengenal pasti kehadiran ‘frenemy’.

Untuk makluman, 'frenemy' ialah terma yang digunakan bagi menunjukkan situasi rakan yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya menyimpan niat buruk.

Menurut Greene, fenomena itu sering berlaku tanpa disedari, malah kebanyakan individu yang bersikap demikian kadangkala tidak menyedari kecenderungan mereka sendiri.

BACA LAGI: Nilai suri rumah bukan pada 'payslip', JAKIM respons status graduan 'master' kecewa hanya duduk rumah jaga anak

BACA LAGI: Caruman serendah RM10 sebulan, suri rumah jangan terlepas mohon 5 bantuan khas golongan tidak bekerja

"Situasi ‘penyusup’ dalam hidup seseorang adalah sesuatu yang klasik, individu yang berasa cemburu akan cuba merapatkan diri dan berselindung di sebalik hubungan persahabatan," katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di Facebook Steve Bartlett.

Greene menjelaskan, ‘frenemy’ biasanya bermula sebagai seseorang yang mengagumi, memuji dan cuba mengambil hati.

Namun katanya, di sebalik keramahan itu, tersimpan perasaan iri hati yang memakan diri.

“Secara sedar, mereka mungkin berfikir mahu berkawan, tetapi di bawah sedar, mereka rasa tercabar atau tidak selesa dengan pencapaian kita,” kongsinya.

Beliau menambah, sikap mesra itu sering berubah setelah hubungan semakin rapat.

Tambah beliau lagi, individu berkenaan kemudian akan mula perasan tingkah laku yang tidak dijangka daripada rakan tersebut.

"Antaranya komen-komen pedas yang menyentuh emosi, tindakan merendahkan keyakinan diri dan mengambil kesempatan.

“Apabila mereka melukakan hati kita, reaksi pertama selalunya ialah menyalahkan diri sendiri kerana menganggap mereka kawan,” ujar Greene.

Beliau menegaskan, punca utama fenomena tersebut ialah rasa iri yang tersembunyi.

“Mereka mahu akan apa yang anda ada dan mereka mendekati anda supaya mereka boleh melukakan anda dari dalam,” jelasnya.

Greene turut berkongsi tanda paling ketara seseorang itu berpotensi menjadi ‘frenemy’.

Katanya, ia termasuk mereka terlalu cepat mahu menjadi kawan rapat.

"Sedangkan biasanya, kebanyakan orang mengambil masa untuk menilai dan mengenali seseorang sebelum membenarkan mereka memasuki ruang peribadi.

“Individu yang menyimpan rasa cemburu juga datang dengan penuh semangat seperti memuji secara melampau, ajak keluar dan cuba cepat-cepat membina hubungan rapat.

"Sikap terburu-buru ini bukan sifat persahabatan normal dan ia adalah petunjuk bahawa sesuatu tidak kena,” katanya.

Greene menasihati orang ramai agar lebih peka terhadap tingkah laku sedemikian dan tidak takut untuk menjaga jarak apabila perlu demi menjaga kesejahteraan emosi dan hubungan sosial yang lebih sihat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram