LUANA Lopes Lara, graduan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam bidang sains komputer bukan sahaja menimba pengalaman bekerja di Bridgewater Associates dan Citadel, malah berjaya membina syarikat permulaan bernilai AS$11 bilion (RM49 bilion) dalam tempoh enam tahun sahaja.
Namun, baginya, zaman sekolah menengah masih dianggap sebagai tahun paling mencabar dalam hidupnya.
Di Bolshoi Theater School, Brazil, Lopes Lara diuji dengan cara yang sangat ekstrem, apabila guru baletnya memegang rokok menyala di bawah pahanya semasa beliau mengangkat kaki ke telinganya.
BACA LAGI: [VIDEO] Gadis asal Hyderabad cipta sejarah buka ‘runway’ Chanel di subway New York
Sementara itu, rakan penari lain pernah bertindak menyembunyikan serpihan kaca dalam kasutnya untuk meraih kelebihan.
Latihan intensif itu digabungkan dengan akademik dari 7 pagi hingga 9 malam, membentuk disiplin tinggi yang menjadi asas kejayaannya.

Lopes Lara pernah diuji dengan cara yang sangat ekstrem sewaktu di Bolshoi Theater School. — Agensi
Tidak hanya sebagai penari balet profesional, wanita kelahiran Brazil itu turut menonjol dalam bidang akademik.
Terinspirasi oleh ibunya, seorang guru matematik manakala bapanya seorang jurutera elektrik, Lopes Lara belajar dengan tekun untuk menghadapi pelbagai pertandingan akademik.
Usaha gigihnya membuahkan hasil apabila beliau memenangi pingat emas di Olimpiad Astronomi Brazil dan pingat gangsa di Olimpiad Matematik Santa Catarina.
Billionaire termuda
Kini, pada usia 29 tahun, Lopes Lara dinobatkan sebagai wanita termuda dunia yang berjaya menjadi billionaire, menewaskan Lucy Guo dari Scale AI.
Bersama pengasas bersama, Tarek Mansour, mereka menjadi bilionair selepas syarikat pasaran ramalan mereka, Kalshi, mengumpul AS$1 bilion (RM4 bilion) dengan nilai syarikat dianggarkan RM49 bilion.
Kalshi membolehkan pengguna membuat pertaruhan tentang peristiwa masa depan seperti pilihan raya, sukan dan budaya pop.
Nilai syarikat meningkat lebih lima kali ganda dalam tempoh kurang enam bulan, menjadikan nilai bersih pengasas muda itu masing-masing AS$1.3 bilion (RM5.3 bilion).
“Ramai kini ingin menyertai perniagaan ini kerana Kalshi menunjukkan potensi besarnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dana teroka Neo, Ali Partovi.
Jumlah dagangan Kalshi kini mencapai AS$5.8 bilion (RM24 bilion), manakala pesaing utamanya, Polymarket, meningkat kepada AS$4.3 bilion (RM18 bilion) sejak Julai.
Lopes Lara dan Mansour bertemu di MIT, belajar bersama dalam jurusan sains komputer dan menjadi rapat selepas melalui latihan industri di Five Rings Capital, New York.
Dari situ lahir idea membangunkan pasaran ramalan, yang mana pengguna boleh berdagang berdasarkan kebarangkalian peristiwa masa depan.
Lopes Lara (kiri) dan Tarek menjadi bilionair selepas syarikat mereka, Kalshi mengumpul nilai syarikat dianggarkan RM49 bilion. — Agensi
Mereka memohon kepada Y Combinator dan diterima pada 2019.
Namun, cabaran regulatori menguji ketabahan mereka. Hanya dengan bantuan peguam Jeff Bandman, Kalshi mendapat kelulusan CFTC pada November 2020 untuk beroperasi sebagai designated contract market (DCM).
Kelulusan itu membezakan Kalshi daripada pesaing dan meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan syarikat.
Cabaran tetap ada, termasuk pertikaian dengan Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) mengenai kontrak pilihan raya sebelum pilihan raya presiden 2024.
Namun pada September 2024, Mahkamah Daerah AS memihak kepada Kalshi, menjadikannya sejarah sebagai kontrak pilihan raya pertama yang dikawal selia di AS dalam lebih satu abad. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
