HUBUNGAN adik-beradik sering menjadi ikatan pertama yang mengajar tentang kasih sayang, empati dan kesetiaan.
Di balik suka dan duka dihadapi sepanjang membesar bersama, wujud kasih yang tidak akan pernah pudar walaupun salah seorang pergi terlebih dahulu.
Itulah yang dirasai seorang ibu, syadatulasyikin bila mana kasih sayang terjalin antara dua anaknya yang rapat sejak kecil, teruji dengan pemergian si adik, Muhammad Shah Farrel Iman Lafishahsizal yang meninggal dunia di usia lapan tahun akibat tumor otak pada 4 April 2023.
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
Kisah itu dikongsikan menerusi satu catatan pilu di laman Threads, menceritakan detik-detik akhir yang menjadi memori kekal dalam hidup seisi keluarganya.
Dalam hantarannya baru-baru ini, si ibu mengenang detik terakhir anak bongsunya itu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
"Jumpa adik di PICU buat kali terakhir, dipegang-pegang jari adik, dicium-cium jari adik, terlalu sayang kakak kat adik. Adiklah dunia dia," katanya.
Situasi lebih mengharukan apabila si kakak yang selama ini tidak pernah meninggalkan adiknya sama ada ketika sihat mahupun saat kritikal, terus 'berkomunikasi' dengan adiknya melalui doa dan mimpi.
"Adik halalkan ya apa yang adik bagi kat kakak, kakak pun dah halalkan semua yang kakak bagi kat adik tapi adik dah tak balas.
"Adik, kakak mimpi adik tau, kita jalan-jalan berdua, jangan pernah tinggal adik dalam doa kakak ya, kita semua akan menyusul," ujarnya.
Dalam pada itu, si ibu turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kekuatan melalui sokongan ramai.
"Terima kasih untuk semua doa-doa untuk kami sekeluarga, semoga ALLAH kurniakan segala kebaikan dunia dan akhirat untuk semua.”
"ALLAH jemput adik dulu, tapi ALLAH hadirkan ramai orang-orang baik sekeliling kami, Alhamdulillah," ujarnya.
Akui pemergian insan tersayang bukan perkara mudah, keluarga berkenaan walau bagaimanapun reda menerima ketentuan Ilahi.
Bagi syadatulasyikin, kasih sayang dua beradik itu adalah hadiah yang kekal dan doa anak sulungnya akan terus mengiringi adiknya hingga ke syurga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
