SETIAP anak pasti menyimpan hasrat untuk membalas jasa seorang ibu atas segala jasa dan pengorbanan dicurahkan sewaktu kita kecil.
Tidak kira sama ada hadiah itu mahal atau sederhana, yang penting adalah keikhlasan hati serta usaha untuk membuatkan insan yang telah membesarkan kita tersenyum.
Bagi sesetengah individu, penghargaan itu hadir dalam bentuk kecil seperti membawa ibu keluar makan, membeli pakaian baharu atau sekadar meluangkan masa bersama.
Namun bagi segelintirnya pula, momen itu menjadi lebih bermakna apabila impian besar dapat direalisasikan demi melihat raut ceria terpampang pada wajah si ibu.
Itulah yang dialami seorang wanita, Azura Elle yang berkongsi momen penuh emosi di TikTok apabila berjaya membawa ibunya menaiki pesawat 'business class' buat julung kali.
Pengalaman itu bukan sekadar percutian, tetapi simbol pengorbanan, penghargaan dan impian yang telah lama dipendam.
Menerusi video dimuat naik, Azura mengakui dirinya tidak mampu menahan air mata sebaik melihat ibunya duduk selesa di ruang kabin yang menjadi pengalaman tidak pernah terlintas dalam hidup wanita tersebut.
"Menangis sebab dapat bawa ibu bercuti naik pesawat business class, salah satu impian terbesar dalam hidup yang akhirnya dapat dipenuhi," luahnya jujur dalam kapsyen.
Azura turut menulis kata-kata yang cukup menyentuh hati, menggambarkan kesedarannya bahawa setiap ibu merupakan wanita yang pernah berkorban segalanya dan jarang berpeluang menikmati sesuatu untuk diri sendiri.
"Dan aku sedar, ibu is just a girl living life for the first time," tulisnya, merujuk kepada pengalaman baharu yang kini dapat dinikmati ibunya setelah sekian lama berkorban demi keluarga.
Video tersebut memaparkan ibunya kelihatan teruja sejak di pintu masuk pesawat, sebelum dibawa ke tempat duduk yang lebih luas dan selesa.
Baginya, melihat riak ceria di wajah ibunya adalah momen yang membuatkan dirinya sebak, sekali gus merasakan segala usaha dan penat lelahnya berbaloi.
Perkongsian itu segera menjadi sorotan di TikTok, meraih ratusan ribu tontonan serta komen penuh sokongan daripada warganet.
Ramai yang berkongsi rasa terinspirasi untuk melakukan perkara sama buat ibu masing-masing apabila berpeluang kelak, manakala ada yang meluahkan kerinduan terhadap ibu yang telah tiada.
"Awak buat ramai orang sedar, kita tak tahu sampai bila dapat bahagiakan ibu, rezeki besar dapat tunaikan impian dia," kata Amirin.
Malah, tidak kurang juga yang memuji keakraban dua beranak itu, serta menyifatkan usaha Azura sebagai bukti kebahagiaan seorang ibu tidak semestinya datang daripada hadiah yang besar, tetapi lahir melalui keikhlasan seorang anak.
Bagi Azura, momen itu akan terus menjadi kenangan yang tidak ternilai bukan kerana kemewahan, tetapi peluang melihat ibunya menikmati kebahagiaan yang selama ini hanya mampu dibayangkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
