SABAN tahun, sambutan Krismas sering disambut meriah dengan tradisi pertukaran hadiah sesama keluarga menjadi detik paling dinantikan khususnya kanak-kanak.
Namun, tidak semua bernasib baik untuk melalui momen bahagia itu kerana segelintir daripadanya hanya mampu melihat dek isu kemiskinan melampau.
Realiti kesusahan itu mendorong seorang remaja di Scotland untuk menjalankan misi bantuan sejak usianya lapan tahun dan kini berkembang menjadi inisiatif bernilai puluhan ribu ringgit.
BACA LAGI: Rai hari jadi ke-12, Nana Mahazan 'request' dukung anak kali terakhir sebelum melangkah remaja
Lily Simpson Brown, remaja berusia 14 tahun dari Ayr, Scotland mengumpul dan membelanjakan kira-kira £8,000 (RM43,000) bagi menyediakan hadiah Krismas kepada mangsa keganasan rumah tangga dan keluarga yang memerlukan di bawah naungan badan amal Women’s Aid.

Lily Simpson bersama bungkusan hadiah dibeli khas buat keluarga susah sempena Krismas tahun ini. — Agensi
Inspirasi sejak usia lapan tahun
Segalanya bermula ketika Lily sering menemani ibunya, Nicola ke gimnasium selepas waktu bekerja.
Di satu sudut, dia melihat timbunan hadiah yang didermakan untuk kanak-kanak di bawah Women’s Aid dan sering tertanya mengapa hadiah-hadiah tersebut dikumpulkan.
“Saya jelaskan ada kanak-kanak yang tak bernasib baik, tak dapat hadiah Krismas, malah ada yang tak mempunyai tempat tinggal selamat.
“Lily sangat tersentuh dan bertanya sama ada dia boleh gunakan wang sakunya untuk membeli beberapa hadiah," kata Nicola.
Mereka bermula dengan £100 (RM548), hasil wang saku Lily dan ibunya dan sejak itu, remaja tersebut nekad menambah lebih banyak dana setiap tahun.
Kerja sambilan
Menginjak usia remaja, komitmen Lily semakin besar dan dia bekerja sambilan untuk membiayai hadiah Krismas buat penerima bantuan.
"Setiap orang berhak memberi dan menerima hadiah Krismas.
"Menjadi ibu adalah salah satu tugas paling sukar di dunia dan tak dapat memberi hadiah kepada anak sendiri sangat menyayat hati.
"Dia menyertai kelas tarian empat hari seminggu, bersekolah, ada dua kerja sambilan tapi tetap mencari masa untuk membantu orang lain," ujarnya.
Terus berazam
Tahun ini, Lily meletakkan sasaran mengumpul £1,200 (RM6,582) dan sehingga kini telah mengumpul lebih £1,014 (RM5,561).
Usahanya juga mendapat perhatian apabila dia tercalon dalam anugerah Pride of Scotland Awards, sebagai pengiktirafan kepada individu yang menyumbang kepada masyarakat.
"Kami mungkin pergi bercuti hujung tahun ini, tetapi saya tetap akan pastikan projek hadiah Krismas kali ini berjalan.
"Saya tak perlu tahu siapa penerimanya cukup saya tahu saya telah melakukan perubahan," kata Lily. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
