PELUMBA trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkongsi detik penuh emosi apabila anak sulungnya, Amna Maryam, berjaya meraih Sijil Gred Ke-8 taekwando (tali pinggang hitam) baru-baru ini.
Jaguh berbasikal berusia 37 tahun itu, yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman, mendedahkan bahawa pencapaian Amna hadir selepas melalui perjalanan panjang yang cukup mencabar.
Akui keluarganya telah banyak berkorban dari segi masa dan tenaga di samping jadual latihannya yang padat, gaya hidup sebagai atlet bertaraf dunia menurutnya menuntut perjuangan yang sangat tinggi.
BACA LAGI: Hamil seawal usia 5 tahun, Lina Medina miliki simptom akil baligh pramatang, kini berusia 92 tahun
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
Latihannya sebelum ini sering diadakan di pelbagai lokasi termasuk Australia, Eropah dan Jepun, bergantung pada persediaan menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.
Pergerakan yang kerap itu secara langsung memberi kesan kepada rutin harian keluarganya yang juga terpaksa berpindah-randah bergantung kepada lokasi latihan pemegang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 dan Rio 2016 tersebut.
"Perjalanan ini bukan mudah untuknya, setiap perjalanan pulang ke Malaysia dia akan terlepas kelas, hilang rentak dan perlu sentiasa peka dengan perkara baharu.
"Saya pernah bimbang bahawa ia akan melambatkan dia terlalu banyak, atau mungkin dia akan berkecil hati.
"Tetapi dia tidak pernah melakukannya, dia hanya terus muncul, terus mencuba, terus percaya pada dirinya sendiri walaupun ia tidak mudah," katanya di laman Instagram.
Baginya, kejayaan dikecapi anaknya merupakan satu perkara yang amat membanggakan selain sentiasa memberi dorongan untuk Amna terus berkembang dalam apa jua bidang diceburi.
"Semua usaha, perjalanan, pengorbanan dan permulaan ini berkumpul menjadi satu gelombang emosi, saya bersyukur melihat keberanian yang ada dalam dirinya," tambahnya.
Walaupun dihimpit jadual latihan antarabangsa yang sering memaksa keluarganya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, Azizulhasni dan isterinya tetap memastikan anak-anak membesar dalam suasana penuh sokongan serta disiplin.
Kejayaan Amna merangkul tali pinggang hitam pada usia muda bukan sahaja membuktikan ketekunan dan kerja kerasnya, tetapi juga menjadi inspirasi bahawa anak-anak atlet negara tetap mampu cemerlang walaupun berdepan gaya hidup penuh cabaran.
"Semoga kamu terus berjuang, berkembang dan mengejar matlamat dengan semangat yang sama ditunjukkan dalam perjalanan ini, teruskan berjuang!" ujarnya mengakhiri perkongsian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
