Momen manis graduasi, 4 sekeluarga raih ijazah serentak antara 3 kisah inspirasi konvokesyen UTM


  • Bonda
  • Sabtu, 06 Dis 2025

(Dari kanan) Ramzi bergambar keluarga bersama Nursafiya Adha, Mohd Khairez dan Eyna Syafarina pada majlis konvokesyen di UTM Skudai.

MAJLIS Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi detik luar biasa bagi sebuah keluarga dari Kuching, Sarawak apabila empat ahli keluarganya menamatkan pengajian serentak pada hari sama.

Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara, Ramzi Abdillah, 55, menerima Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Geomatik), manakala dua anaknya Mohd Khairez Anhar Ramzi, 27, dan Nursafiya Adha Ramzi, 24, masing-masing menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Geomatik dan Seni Bina. 

Lebih manis, menantu Ramzi, Eyna Syafarina Sarkawi, 27, turut menerima ijazah dalam bidang sama yang diikuti suaminya.

BACA LAGI: Rai hari jadi ke-12, Nana Mahazan 'request' dukung anak kali terakhir sebelum melangkah remaja

BACA LAGI: 'Bukan semua orang kita sayang milik kita', Nabila Huda pilih kebahagiaan, cinta dunia lakonan sempena ulang tahun ke-41

Keempat-empat mereka menamatkan pengajian melalui program di UTM Skudai, Johor.

Ramzi berkata, majlis tersebut menjadi antara hari paling istimewa dalam hidupnya kerana dapat meraikan kejayaan akademik bersama seluruh keluarga terdekat.

“Jarang empat ahli keluarga mencapai pencapaian seperti ini serentak, sokongan yang kami kongsi menjadikan perjalanan ini lebih mudah. 

"Bukan senang belajar sambil bekerja dan mengurus keluarga, tetapi melihat anak-anak lulus bersama saya adalah anugerah terbesar,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa bangga apabila 14 kakitangannya, yang mengikuti pengajian di bawah Program Pasca Siswazah Luar Pesisir UTM Skudai, menamatkan pengajian sebagai kohort pertama pada tahun sama.

“Saya amat berterima kasih kepada keluarga, terutama isteri yang sentiasa menjadi tulang belakang sampai saya berjaya selesaikan program ini,” katanya.

 

Bapa inspirasi 

Dalam pada itu, Mohd Khairez menyifatkan perjalanan menuntut ilmu bersama bapa, adik dan isterinya sebagai pengalaman yang tidak ternilai.

“Saya dan adik-beradik memang memandang tinggi kepada ayah, belajar bersama keluarga memberi motivasi tambahan dan bila ada perkara saya tak faham, saya akan rujuk ayah," katanya.

Selain keluarga Ramzi, majlis konvokesyen UTM kali ini turut menyaksikan pelbagai kisah kejayaan unik. 

 

Jack (kanan) meraikan hari graduasinya bersama adik kembarnya Alan.

 

Antaranya, pasangan kembar Jack Ng Sheng Jie dan Alan Ng Sheng Lun, masing-masing berusia 24 tahun yang menerima ijazah dalam Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Kimia.

"Kami kembar tetapi minat kami berbeza, kami pilih bidang yang kami suka supaya dapat kejar impian masing-masing," katanya.

Turut mencuri perhatian ialah pasangan antarabangsa dari Uganda, Omalla Morgan Kadowa Thomas dan Chanda Galabuai, kedua-duanya 26 tahun, yang menerima Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Sistem.

"Kami berkawan sejak di Uganda dan meneruskan pengajian di sini pada 2023, hubungan kami semakin rapat dan akhirnya kami berkahwin pada Ogos lalu. 

"Graduasi kali ini amat bermakna kerana diraikan sebagai suami isteri,” kata Omalla Morgan.

Omalla Morgan (kiri) dan Chanda gembira selepas menamatkan pengajian mereka.

Ibu dan anak raih ijazah bersama

Dalam pada itu, Dr Azura Ahmad, 50, turut melakar sejarah peribadi apabila menerima ijazah kedoktoran dalam Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan pada hari yang sama anaknya, Afif Izhar Abdullah Harris, 23, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

Katanya, keputusan menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah dibuat bagi memberi contoh kepada anak-anak.

"Mengimbangi kerja, penyelidikan dan masa bersama keluarga bukanlah mudah tetapi kami saling bertukar pandangan tentang bidang kejuruteraan, jadi perjalanan ini terasa lebih bermakna," katanya.

Azura (kanan) dan anaknya Afif Izhar pad majlis graduasi UTM baru-baru ini.

 

Afif Izhar dalam masa sama mengakui ibunya merupakan inspirasi terbesar hidupnya.

"Melihat ibu menguruskan kerjaya dan pengajian mendorong saya fokus dalam pelajaran selain penyokong moral, dia juga penyokong kewangan saya," katanya.

Secara keseluruhan, lebih 7,000 graduan diraikan pada Konvokesyen ke-69 UTM, dengan pelbagai kisah kejayaan peribadi yang mencerminkan semangat perjuangan dan ketabahan dalam mengejar ilmu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram