REKOD Dunia Guinness 2025 menampilkan barisan kanak-kanak luar biasa yang membuktikan bahawa bakat, disiplin dan kecerdasan tidak mengenal usia.
Pada saat kebanyakan kanak-kanak seusia mereka masih menguasai kemahiran asas kehidupan, tujuh individu muda ini telah berjaya mencipta rekod dunia yang mengagumkan.
Fenomena itu menarik perhatian masyarakat antarabangsa, sekali gus mengingatkan bahawa potensi kanak-kanak boleh berkembang lebih awal apabila diberikan sokongan dan pendedahan yang sesuai.
BACA LAGI: Impian tercapai, wanita terharu dapat bawa ibu naik pesawat 'business class' kali pertama
Berikut adalah senarai kanak-kanak paling muda yang diiktiraf Guinness World Records atas pencapaian luar biasa diraih:

1. Ace-Liam Nana Sam Ankrah
Ace-Liam dari Ghana menjadi sensasi global apabila Guinness mengiktirafnya sebagai artis lelaki termuda dunia.
Pada usia kurang dua tahun, karya abstraknya bukan sahaja dipamerkan secara profesional tetapi juga berjaya dijual kepada pengumpul seni.
Minatnya mula dikesan seawal umur enam bulan ketika ibunya yang juga merupakan seorang artis, menyedari kecenderungannya meneroka cat akrilik.
Bagi memenuhi syarat penyertaan, Ace-Liam perlu menyertai pameran seni profesional yang akhirnya berlangsung di Muzium Sains dan Teknologi di Accra.
Sebanyak sembilan daripada karyanya terjual, membuktikan bahawa bakat kecil ini benar-benar diterima sebagai artis sebenar, bukan sekadar sensasi internet.

2. Joseph Harris-Birtill
Joseph Harris-Birtill yang muncul dalam beberapa laporan media sebagai ahli Mensa termuda menyita perhatian ramai, namun Guinness World Records tidak menyenaraikannya sebagai pemegang rekod rasmi.
Walau bagaimanapun, kisah kecerdasannya tetap menjadi rujukan popular dalam perbincangan tentang perkembangan awal kognitif kanak-kanak.
Walaupun tidak disahkan oleh Guinness, Joseph digambarkan mempunyai kemampuan membaca dan menyelesaikan teka-teki yang jauh melebihi usianya, menjadikannya salah satu contoh perkembangan intelek luar biasa di usia muda.

3. Pratyaksh Vijay
Kanak-kanak asal India, Pratyaksh meraih perhatian global selepas muncul sebagai guru yoga lelaki termuda dunia.
Guinness World Records mengiktiraf pencapaian tersebut pada 2023 selepas beliau berjaya melengkapkan kursus pensijilan instruktur yoga selama 200 jam.
Selain menguasai pelbagai pergerakan kompleks, Pratyaksh kini turut mengajar pelajar lebih dewasa daripada dirinya.
Kemampuannya untuk memimpin kelas pada usia begitu muda menjadikannya simbol disiplin dan konsistensi dalam bidang yoga moden.

4. DJ Rinoka
Di Tokyo, Jepun, seorang kanak-kanak perempuan bernama Rinoka Itsuki atau DJ Rinoka menarik perhatian dunia apabila videonya mengendalikan set muzik di sebuah kelab malam tular di laman sosial.
Walaupun kisahnya mendapat liputan meluas, rekod sebagai DJ kelab wanita termuda tidak disenaraikan sebagai rekod rasmi Guinness.
Namun, kemampuannya menguruskan peralihan lagu, mengawal audien dan tampil di pentas profesional pada usia enam tahun tetap memberikan gambaran tentang bakat muzik luar biasa serta perkembangan pesat generasi baharu dalam bidang seni persembahan digital.

5. Samyuktha Narayanan
Samyuktha dari Madurai, India, mencipta sejarah apabila menjadi instruktur taekwondo wanita termuda dunia, diiktiraf oleh Guinness pada 14 Ogos 2024.
Beliau memulakan latihan pada usia tiga tahun dan memperoleh tali pinggang hitamsebelum memasuki sekolah rendah.
Kini, Samyuktha mengajar murid lebih muda dan sering dijadikan ikon kepada kanak-kanak perempuan di India yang ingin menceburi seni mempertahankan diri itu.

6. Abhimanyu Mishra
Abhimanyu dari Amerika Syarikat (AS) memecahkan rekod dunia pada 2021 apabila memperoleh gelaran Grandmaster catur pada usia 12 tahun, mengatasi rekod lama selama 19 tahun.
Pencapaiannya menuntut perjalanan intensif ke Budapest semasa pandemik Covid-19 bagi menyertai kejohanan bertaraf tinggi.
Sebelum bergelar Grandmaster, Abhimanyu telah beberapa kali mencipta rekod peringkat nasional dan antarabangsa.
Antaranya, menjadi pemegang rekod Master termuda di AS serta International Master dan gelarannya sebagai Grandmaster muncul selepas berjaya mencapai syarat diperlukan dan menembusi rating Elo 2500.
7. Henry Buckley
Pada usia 16 tahun, Henry Buckley mencipta sejarah sebagai pegawai kerajaan dan menjadi menjadi hakim lelaki termuda (Justice of the Peace) paling muda di AS.
Meskipun tidak dikategorikan sebagai rekod rasmi Guinness, pencapaiannya mengundang perhatian kerana jawatan tersebut biasanya dipikul individu jauh lebih dewasa.
Henry menjalankan tugas seperti mengurus dokumen notari serta menikahkan pasangan secara sah dan kejayaannya menjadi simbol keberanian anak muda dalam melibatkan diri secara aktif dalam urusan komuniti.
Pencapaian tujuh kanak-kanak itu membuktikan bahawa usia bukan penghalang kepada kecemerlangan di peringkat dunia.
Sebahagian daripada mereka memegang rekod dunia yang sah, manakala yang lain mendapat perhatian kerana bakat luar biasa yang jarang dilihat pada usia begitu muda. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
