PERSONALITI dan peguam muda, Tun Laila, mencuri perhatian warganet apabila berkongsi pengalaman menyentuh hati sepanjang mengerjakan umrah baru-baru ini.
Menerusi catatannya di laman TikTok, beliau menzahirkan rasa syukur terhadap layanan penuh sabar daripada suaminya yang setia menjaganya walaupun demam dan keletihan di Madinah.
Menurutnya, tubuhnya mula menggigil sebaik tiba di bumi Madinah sehingga membuatkan dirinya berkira-kira tentang kemampuan untuk memasuki Raudah.
BACA LAGI: Rai hari jadi ke-12, Nana Mahazan 'request' dukung anak kali terakhir sebelum melangkah remaja
Menyedari keadaan kesihatannya yang merosot, suaminya menawarkan penggunaan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan.
"Awak layan sakit saya dengan penuh sabar, saat saya menggigil, sayang tanya, nak pakai wheelchair? Berat hati saya nak susahkan jemaah lain," ujarnya.
Beliau dalam masa sama turut berterima kasih kepada rakan jemaah yang sudi membantunya ketika berada di Raudah.
Akui pengalaman memasuki Raudah tahun ini jauh berbeza berbanding tahun sebelumnya, keputusan menggunakan kerusi roda menurutnya menjadikan kunjungannya lebih selesa.
"Perasaan dalam Raudah tahun ini, berbeza dari tahun lepas, tahun ni selesa dan luas untuk saya sebab saya dengar kata suami untuk pakai wheelchair.
"Keluar Raudah saya menangis, tak sangka umrah tahun lepas bapak pakai wheelchair, tahun ni saya pulak.
"Tengok pemandangan Masjid Nabawi yang tenang, sejuk dan cantik, tahu saya tak boleh lama lama di situ," ujarnya.
Dalam perkongsian sama, beliau menyampaikan penghargaan tulus kepada suaminya yang bukan sahaja menjaga kesihatannya sepanjang ibadah meliputi Taif, Mekah dan Madinah, malah menjadi imam ketika beliau tidak berdaya ke masjid.
"Terima kasih sebab pilih saya jadi isteri, terima kasih jaga saya sepanjang perjalanan umrah kita.
"Dan terima kasih sebab buat saya senyum walaupun saya tengah menangis, semoga syurga tertinggi buat sayang," luahnya.
Sekadar info, Tun Laila selamat bergelar isteri kepada Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Haiqal dengan sekali lafaz di Masjid Subang Bestari, Selangor pada 8 November lalu.
Majlis pernikahan itu disempurnakan sendiri oleh bapa pengantin perempuan yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Tun Laila menerima mas kahwin sebanyak RM13,800 simbolik kepada tarikh lahirnya manakala hantaran tujuh berbalas lima. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
