Antara tawakal dan usaha: Konsep rezeki mengikut makam keimanan seseorang


  • Mukmin
  • Ahad, 07 Dis 2025

Cara ALLAH memberi rezeki kepada seseorang bergantung pada keadaan hati, keimanan dan makam hamba-NYA. — Gambar hiasan

REZEKI merupakan salah satu nikmat terbesar dalam kehidupan manusia di dunia ini. Ia bukan sekadar berbentuk harta tetapi merangkumi segala bentuk kemudahan dan kelapangan yang ALLAH SWT kurniakan kepada seluruh makhluk-NYA.

Firman ALLAH dalam surah Saba’ ayat 34 bermaksud: 

“Dan tidak ada seorang pun yang berdaya memberikan rezeki kepada kamu melainkan ALLAH; DIA-lah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi dan DIA Maha Mengetahui segala sesuatu.” 

BACA LAGI: Hukum harus hadir majlis perkahwinan ahli keluarga di rumah ibadat bukan Islam, tapi ada syaratnya — Dr. Roslizawati

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ibu bangga nak', wanita terharu anak perempuan umur 5 tahun berani masuk pertandingan hafazan al-Quran

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa rezeki datang daripada ALLAH semata-mata, namun manusia tetap dituntut untuk berusaha. 

Persoalannya, sejauh mana usaha diperlukan dan bagaimana peranan tawakal dalam menentukan rezeki setiap insan?

Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah Kolej Islam As Sofa, Ustaz Dr. Muhammad Sufi Ibrahim al-Hafiz berkata, dalam perihal rezeki ini, terdapat kisah yang masyhur mengenai pendapat Imam Malik RA dan Imam Syafie RA.

Dr. Muhammad Sufi 

Diceritakan pada satu hari, Imam Malik RA yang merupakan guru kepada Imam Syafie RA telah berkata:

“Sesungguhnya rezeki itu datang tanpa sebab; cukup dengan tawakal yang benar kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan memberikan rezeki. Lakukan yang menjadi bahagianmu, selanjutnya biarkan ALLAH mengurus lainnya.”

Bagaimanapun, Imam Syafie RA pula berpandangan sebaliknya dengan menekankan ia perlu kepada tindakan manusia. Katanya:

“Seandainya seekor burung tidak keluar dari sangkarnya, bagaimana mungkin ia akan mendapatkan rezeki.”

Menurut Dr Muhammad Sufi, kedua-dua pandangan itu kelihatan berbeza namun hakikatnya ia saling melengkapi. 

“Imam Malik menekankan makam tawakal yang tinggi kepada Tuhan manakala Imam Syafie menekankan pentingnya usaha sebagai perantara terhadap rezeki yang ALLAH kurniakan.

“Kedua-dua pendapat itu benar tetapi ia perlu difahami mengikut konsep rezeki yang telah ditetapkan ALLAH SWT,” jelas Dr. Muhammad Sufi kepada Majoriti.

Kemudian, beliau menceritakan pula kisah Imam Syafie dan sekumpulan petani yang sedang memetik anggur sebagai kesinambungan cerita tersebut.

“Suatu ketika, Imam Syafie RA keluar berjalan dan melihat sekumpulan petani sedang memetik anggur. Beliau membantu mereka dan sebagai balasan, Imam Syafie diberikan beberapa ikat anggur. 

“Imam Syafie amat gembira bukan kerana anggur itu tetapi kerana pengalaman tersebut mengukuhkan keyakinannya bahawa seandainya dia tidak keluar dan membantu, nescaya anggur itu tidak akan sampai kepadanya,” kata Dr Muhammad Sufi lagi.

Dr. Muhammad Sufi menceritakan kisah Imam Syafie dan sekumpulan petani yang sedang memetik anggur. — Gambar hiasan

Kemudian, Imam Syafie bergegas menemui gurunya, Imam Malik RA sambil membawa anggur tersebut dan berkata:

“Seandainya saya tidak keluar dan melakukan sesuatu, tentu saja anggur ini tidak akan pernah sampai ke tangan saya.”

Mendengar ucapan anak muridnya itu, Imam Malik RA tersenyum seraya mengambil anggur tersebut dan memakannya.

Dengan perlahan beliau berkata: “Sehari ini aku memang tidak keluar, hanya mengambil tugas sebagai guru dan sedikit berfikir alangkah nikmatnya kalau dalam hari yang panas ini aku boleh menikmati anggur. Tiba-tiba engkau datang sambil membawakan beberapa ikat anggur segar untukku.

“Bukankah ini juga bahagian daripada rezeki yang datang tanpa sebab. Cukup dengan tawakal yang benar kepada ALLAH, nescaya ALLAH akan berikan rezeki. Lakukan yang menjadi bahagianmu, selanjutnya biarkan ALLAH yang mengurus lainnya.”

Mengulas mengenai kisah tersebut, Dr Muhammad Sufi yang juga Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa mengangkat ibrah di sebaliknya.

"Di sini kita melihat kehalusan didikan seorang guru. Imam Malik RA tidak menolak usaha muridnya tetapi pada masa sama menegaskan hakikat rezeki bukan terbatas pada usaha manusia semata-mata," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rezeki adalah cerminan makam keimanan seseorang.

“Rezeki bukan hanya tentang harta benda. Ia adalah manifestasi keyakinan kita terhadap ALLAH SWT Yang Maha Pemberi Rezeki.

“Orang yang bertawakal dengan benar akan memahami bahawa setiap usaha yang dilakukan adalah amanah dan setiap hasil yang diterima adalah ketentuan ILAHI. 

“Sebaliknya mereka yang lemah keimanannya cenderung gelisah, cepat putus asa dan mudah melupakan hakikat bahawa rezeki itu datang daripada ALLAH,” ungkap beliau.

Malah, beliau turut menekankan tentang keseimbangan antara usaha dan tawakal adalah asas bagi kehidupan yang barakah iaitu kita berusaha melakukan apa yang menjadi tanggungjawab kita, tetapi menyerahkan hasil sepenuhnya kepada ALLAH.

Imam Syafie RA berpandangan, bagaimana mungkin seekor burung akan mendapatkan rezeki seandainya ia tidak keluar dari sangkar. — Gambar hiasan

Tambahnya, Islam tidak mengajar penganutnya bersikap pasif terhadap rezeki sebaliknya perlu berusaha mencarinya. 

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Seorang Mukmin itu berusaha untuk rezekinya seperti berusaha mencari anak panah yang hilang, sedangkan orang kafir berharap tanpa berusaha.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Tegas Dr Muhammad Sufi, hadis ini menjelaskan bahawa usaha adalah sunnah manakala hasil tetap ditentukan ALLAH. 

“Tawakal bukan bermakna duduk diam dan menunggu rezeki tetapi bertindak bijak sambil menyerahkan keputusan akhir kepada ALLAH selaku pemilik alam semesta Yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa,” katanya.

Rezeki mengikut makam keimanan

Rezeki adalah gabungan antara tindakan manusia dan ketentuan Allah. Makam keimanan menentukan bagaimana seseorang melihat rezeki:

* Orang yang bertawakal tinggi akan melihat usaha sebagai amanah dan hasil sebagai pemberian Allah.

* Orang yang kurang tawakal mungkin cepat panik, gelisah dan tergesa-gesa mengejar rezeki dengan cara yang tidak betul.

Seperti yang disimpulkan Dr Muhammad Sufi:

“Orang yang memahami konsep tawakal dan usaha akan hidup dengan tenang, yakin bahawa rezeki tidak akan pernah tertinggal dan setiap langkah yang dilakukan adalah sebahagian daripada rancangan ALLAH yang sempurna.”

Firman ALLAH SWT menguatkan prinsip ini:

“Dan hanya kepada ALLAH hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah Al-Maidah, ayat 23)

Oleh itu, setiap usaha yang dilakukan dalam ketaatan dan tawakal menjadi cerminan makam keimanan. 

Bila kita bertindak dengan ikhlas dan menyerahkan hasilnya kepada ALLAH, Insya-ALLAH, rezeki yang diperoleh bukan sahaja mencukupi tetapi juga membawa keberkatan dan ketenangan hati.

Kisah Imam Malik dan Imam Syafie mengajar kita bahawa:

1. Rezeki bukan diukur hanya melalui usaha

- Ada orang bekerja keras tetapi rezekinya biasa-biasa. Ada yang sederhana usahanya tetapi rezekinya luas. Inilah rahsia ALLAH.

2. Manusia berbeza makam

- Cara ALLAH memberi rezeki kepada seseorang bergantung pada keadaan hati, keimanan dan makam hamba-NYA.

- Orang yang tinggi tawakalnya sering melihat rezeki datang tanpa dicari. Orang yang gigih berusaha sering melihat hasil dari gerak langkahnya.

Kedua-duanya benar kerana ALLAH Maha Luas memberikan rezeki.

3. Usaha itu kewajipan, tawakal itu ketenangan

- Imam Syafie RA mengajar kita supaya berusaha. Imam Malik RA mengajar kita supaya bergantung sepenuhnya kepada ALLAH.

- Gabungkan kedua-duanya itulah siratul mustaqim (jalan yang lurus) bagi seorang Mukmin.

4. Kita hanya melakukan 'bahagian kita'

- Bahagian kita ialah berusaha, beribadah, melakukan apa yang termampu. Bahagian selebihnya natijah, hasil, kadar, masa, dari mana datangnya rezeki, semua itu bahagian ALLAH. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram