Cinta halal di zaman AI: Awasi batas syarak dalam dunia digital


  • Cinta
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Ujar Dr. Amani, perbualan taaruf mestilah berfokus kepada maklumat penting, bukan soal peribadi yang menggoda. — Gambar janaan AI

PERKEMBANGAN teknologi moden hari ini telah banyak mengubah cara manusia berinteraksi termasuklah dalam hal mencari pasangan hidup. 

Aplikasi dating, media sosial dan perbualan peribadi melalui mesej langsung (DM) menjadi medium baharu bagi generasi muda dalam mencari cinta. 

Namun begitu, dalam keghairahan dunia digital tanpa batasan ini, konsep cinta halal yang berpaksikan syariat Islam tidak boleh diketepikan.

BACA LAGI: Bakal suami kantoi kerap berzina, wajarkah wanita beri peluang atas dasar taubat? Berikut penjelasan pakar

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Amani Nawi berkata, cinta halal dalam Islam hanya boleh dicapai melalui jalan pernikahan yang sah. 

“Hubungan yang berpaksikan keimanan dan ketakwaan akan melahirkan kasih sayang yang diberkati, berbeza dengan cinta berasaskan hawa nafsu yang membawa kepada maksiat.

“Harus diingat, perubahan zaman tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalisasikan hubungan lelaki dan wanita tanpa batas,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Dr. Amani berkata, cinta halal dalam Islam hanya boleh dicapai melalui jalan pernikahan yang sah. 

Beliau turut membawakan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Aku tidak meninggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki selepas aku (wafat) selain daripada fitnah wanita.”

Menurut Dr Amani, perhubungan lelaki dan wanita yang berlaku secara bebas di alam maya adalah dilarang kerana ia membuka pintu kepada fitnah dan maksiat tersembunyi. 

“Sekiranya tidak dibendung, ia akan dianggap normal oleh masyarakat sedangkan hakikatnya ia mengundang kemurkaan ALLAH SWT,” tegas beliau.

Panduan menjaga batas di dunia digital

Dalam konteks komunikasi atas talian, Dr. Amani menegaskan bahawa niat yang jelas dan bersih mesti menjadi asas utama iaitu mencari pasangan hidup yang sah, bukan sekadar berkenalan tanpa tujuan. 

Oleh itu, beliau menyarankan agar perbualan dielakkan daripada bersifat peribadi, senda gurau berlebihan atau menggunakan bahasa yang menggoda. 

“Elakkan komunikasi tersembunyi tanpa pengetahuan wali atau keluarga kerana ia mampu membuka ruang kepada fitnah.

“Selain itu, batas masa dan kekerapan komunikasi juga perlu dijaga agar tidak wujud kebergantungan emosi sebelum akad berlaku,” katanya. 

Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina.” 

“Ayat ini jelas mengingatkan amaran ALLAH kepada hamba-NYA agar tidak menghampiri perbuatan dilarang tersebut sekali gus menjaga setiap interaksi dunia maya dengan penuh takwa,” ujarnya.

Niat yang jelas dan bersih mesti menjadi asas utama iaitu mencari pasangan hidup yang sah. — Gambar hiasan

Mengintegrasikan Konsep Taaruf dalam Aplikasi Digital

Taaruf bermaksud proses mengenali seseorang dengan niat untuk berkahwin. Dalam dunia digital, ia boleh diadaptasi dengan syarat menjaga batas syarak. 

Mengulas lanjut Dr. Amani berkata, penggunaan platform yang diyakini dari segi autoriti dan mempunyai pengawasan pihak ketiga seperti moderator atau wali amat penting bagi mengelakkan penyalahgunaan.

“Perbualan taaruf mestilah berfokus kepada maklumat penting seperti latar belakang, agama, akhlak dan visi perkahwinan, bukan soal peribadi yang menggoda.

“Jika ada keperluan untuk bertemu, pertemuan itu hendaklah dilakukan secara terbuka dan dengan kehadiran mahram atau pengawasan pihak ketiga,” jelasnya lagi.

Risiko spiritual dan sosial jika batas dilanggar

Dr. Amani turut mengingatkan tentang risiko besar yang timbul apabila batas syarak tidak dipatuhi. 

“Dari segi spiritual, dosa kecil yang dilakukan berulang kali seperti bersembang tanpa batas atau berkongsi gambar aurat boleh menggelapkan hati dan menjauhkan seseorang daripada rahmat ALLAH SWT. 

“Ini akan menyebabkan perasaan malu dan takwa akan terhakis sedikit demi sedikit sehingga membawa kepada maksiat yang lebih besar,” tegasnya.

Tambah beliau, dari sudut sosial pula, hubungan tanpa kawalan boleh menyebabkan penipuan, eksploitasi emosi dan seksual, malah penyebaran gambar peribadi yang boleh mencetuskan fitnah dan aib. 

“Ia juga boleh membawa kepada tekanan mental, kemurungan dan gangguan emosi, terutama apabila hubungan berakhir secara tiba-tiba. 

“Lebih buruk lagi, hubungan online tanpa batas dalam kalangan individu berkahwin boleh membawa kepada perselingkuhan maya dan perceraian,” katanya.

Langkah pencegahan dan didikan

Justeru, antara langkah penting yang perlu diambil termasuklah memahami batas syarak dalam perhubungan, meningkatkan ilmu agama serta menggunakan teknologi secara bijak. 

“Seorang Muslim harus menjaga adab komunikasi, mengelak perbualan menggoda dan tidak berdua-duaan secara maya.

“Generasi muda perlu memperkukuh benteng diri dengan sifat malu dan takwa. Mereka digalakkan mengikuti kelas agama atau program yang membincangkan etika perhubungan dalam Islam serta mengamalkan ilmu itu dalam kehidupan seharian. 

“Penggunaan media sosial pula hendaklah berhemah dengan kawalan privasi dan pemilihan kandungan yang baik,” nasihat beliau.

Teknologi sebagai pemudah cara, bukan penentu cinta

Menurut Dr. Amani, teknologi boleh dimanfaatkan secara positif jika digunakan dengan kawalan diri. 

Malah, media sosial juga boleh dijadikan ruang dakwah untuk berkongsi nilai-nilai rumah tangga Islam dan menggalakkan perkahwinan yang berkat.

“AI dan media sosial boleh membantu dari segi saranan personaliti pasangan, tetapi ia tidak boleh menggantikan nilai adab dan syariat. Jangan biarkan teknologi mengatasi takwa,” katanya.

Peranan keluarga, masyarakat dan institusi pendidikan

Dalam pada itu, Dr. Amani menegaskan bahawa keluarga ialah benteng pertama pembentukan akhlak dan kefahaman agama. 

“Ibu bapa perlu menjadi contoh dan tempat rujukan anak-anak dalam hal perhubungan dengan mengamalkan komunikasi terbuka dan penuh kasih sayang.

“Masyarakat pula disaran menyediakan ruang taaruf yang patuh syarak serta program bimbingan pra-perkahwinan atau forum cinta halal.

“Institusi pendidikan juga harus memainkan peranan dengan memperkenalkan modul fiqh pergaulan dan etika komunikasi digital agar pelajar faham batas syarak dalam dunia maya,” ungkapnya.

Kesimpulan

Satu yang pasti, cinta halal tidak pernah ketinggalan zaman, walau teknologi terus berubah haluan. 

Ia menuntut kefahaman, adab dan kawalan diri agar hubungan yang dibina berpaksikan iman dan keberkatan. 

“Teknologi hanyalah alat, tetapi takwa ialah tunjang utama dalam membina cinta yang benar-benar diredai ALLAH SWT,” simpul Dr Amani penuh makna.

Tips golongan muda menyertai aplikasi dating dalam mencari pasangan hidup:

1. Perbetulkan niat

- Pastikan niat menyertai aplikasi sebegini adalah untuk mencari pasangan hidup yang sah melalui perkahwinan, bukan sekadar suka-suka, hiburan atau hubungan tanpa komitmen. 

- Niat yang betul akan membimbing tindakan ke arah yang diredai ALLAH.

2. Pilih platform cari jodoh yang sah dan beretika

- Gunakan platform yang mempunyai penapis kandungan, pengawasan etika dan ciri keselamatan.

3. Jaga privasi dan aurat digital

- Elak berkongsi gambar yang tidak perlu.

4. Libatkan keluarga sejak awal perkenalan 

- Dalam Islam, perhubungan yang serius perlu melibatkan wali atau orang yang dipercayai sebagai pengantara. 

Ini dapat mengelakkan fitnah dan memberi perlindungan kepada kedua-dua pihak.

6. Tolak segera individu yang mengajak ke arah maksiat atau perbualan tidak sopan 

- Hubungan dalam talian mudah mencetuskan emosi yang tidak realistik. 

- Ambil masa untuk mengenali secara rasional dan jangan terburu-buru membuat keputusan. Gunakan pendekatan istikharah dan musyawarah.

7. Berdoa dan bertawakal

- Mohonlah kepada-NYA dan bertawakal sepenuh hati kerana jodoh ialah urusan ALLAH SWT, bukan algoritma yang diberikan oleh AI. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram