ISU hukum seorang Muslim memasuki rumah ibadat agama lain kembali mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan situasi kekeluargaan seperti menghadiri majlis perkahwinan saudara berlainan agama.
Dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, persoalan ini bukanlah sekadar perdebatan hukum fekah semata-mata, bahkan turut menyentuh aspek hubungan sosial, kepekaan budaya serta pemeliharaan akidah umat Islam.
Ketua Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Roslizawati Mohd. Ramly berkata, isu ini bukanlah baharu dalam kalangan ulama.
"Perbincangannya telah dibahaskan sejak zaman-berzaman dan pandangan mereka tidak bersifat tunggal.
“Ulama berbeza pandangan. Ada mengharamkan, ada memakruhkan dan ada yang mengharuskannya.
"Yang membezakannya ialah tujuan seseorang Muslim memasuki rumah ibadat tersebut,” katanya ketika dihubungi Majoriti.
Pandangan itu menegaskan bahawa hukum tidak boleh dinilai secara umum tanpa memahami latar niat, keadaan dan tindakan yang berlaku ketika seseorang berada di dalam rumah ibadat bukan Islam.
Menurut Roslizawati, prinsip asas yang digunakan ulama dalam menentukan hukum memasuki rumah ibadat adalah berdasarkan tujuan.
"Jika tujuannya bersifat ilmiah, akademik, penyelidikan atau dakwah, maka ia termasuk dalam kategori harus.
"Tujuan seperti ini memungkinkan seseorang memahami seni bina, budaya sesuatu agama atau menjalankan tugas penyelidikan tanpa terlibat dalam sebarang ritual," jelasnya.

Jelas Roslizawati tujuan menghadiri majlis keluarga bukan Islam termasuk majlis perkahwinan diadakan di rumah ibadat hukum kehadiran adalah harus dengan syarat-syarat tertentu. — Gambar hiasan
Pendekatan ini selari dengan perintah ALLAH SWT agar dakwah disampaikan dengan hikmah dan pendekatan yang baik sebagaimana firman-NYA dalam surah An-Nahl ayat 125:
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik.”
Dalam konteks ini, tegas beliau, memasuki bangunan ibadat agama lain bukanlah suatu perbuatan boleh menjejaskan akidah selagi ia tidak membawa kepada pengiktirafan atau penyertaan dalam amalan ritual mereka.
"Bagi tujuan menghadiri majlis keluarga bukan Islam termasuk majlis perkahwinan yang diadakan di gereja, kuil atau mana-mana rumah ibadat lain, hukum kehadiran adalah harus dengan syarat-syarat tertentu.
"Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2005 juga memutuskan bahawa kehadiran untuk tujuan kekeluargaan atau hubungan sosial dibenarkan, selagi tidak melibatkan penyertaan dalam ritual ibadat," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Roslizawati memberitahu, perintah ALLAH SWT dalam surah An-Nisa ayat 36 yang menuntut kita berbuat baik kepada ibu bapa dan kaum kerabat menjadi asas kepada keharusan ini.
"Islam tidak memutuskan hubungan keluarga walaupun terdapat perbezaan agama. Namun begitu, garis panduan syarak tetap perlu dijaga," katanya.
Pun begitu, Roslizawati menegaskan bahawa walaupun harus hadir, beberapa batas syarie perlu dipatuhi.
"Antaranya adalah tidak menyertai ritual ibadat seperti tunduk, menyanyi lagu-lagu pujian, menyalakan lilin, membakar colok atau memegang peralatan ritual agama tersebut.
“Mereka perlu diingat agar hadiri majlis tersebut sebagai tetamu bukan sebagai peserta ibadat,” tegas beliau.
Tambahnya, seseorang Muslim tidak boleh memakai pakaian atau simbol agama lain serta tidak melafazkan sebarang pujian ketuhanan agama berkenaan.
"Perbuatan-perbuatan seperti ini boleh menimbulkan kekeliruan dan memberi persepsi bahawa individu tersebut sedang mengambil bahagian dalam ritual ibadat, walaupun tidak berniat demikian.
"Penjagaan batas ini amat penting kerana akidah Islam menegaskan bahawa ALLAH Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan seperti yang diterangkan dalam surah Al-Ikhlas.
"Justeru, sebarang perbuatan yang menyerupai ibadah agama lain boleh menimbulkan kekeliruan kepada diri sendiri dan masyarakat yang melihat," katanya lagi.
Bukan itu sahaja, beliau turut menegaskan bahawa terdapat segelintir umat Islam yang terlalu ingin menjaga hubungan sehingga tanpa sedar melampaui batas akidah.
"Ada kalanya, mereka menganggap sesuatu perbuatan sebagai sekadar budaya sedangkan ia adalah ritual ibadat agama berkenaan.
"Kekeliruan inilah yang perlu dielakkan melalui kefahaman dan ilmu yang benar," jelasnya.

Hakikatnya hukum memasuki rumah ibadat agama lain bukanlah isu hitam putih. Ia dinilai berdasarkan tujuan, keadaan dan pematuhan terhadap garis syarak. — Gambar hiasan/AI
Niat melancong
Berbicara hukum memasuki rumah ibadat agama lain atas tujuan pelancongan, seni bina atau sejarah, Roslizawati berkata, ia juga diharuskan.
"Namun sebahagian ulama mensyaratkan bahawa individu tersebut mestilah mempunyai asas akidah yang kukuh.
"Prinsip sadd az-zarai' iaitu menutup jalan kepada kemudaratan, digunakan untuk mengelakkan kekeliruan atau terdedah kepada dakyah secara tidak sedar.
"Walaupun begitu, aktiviti lawatan umum yang dikendalikan secara rasmi atau berkumpulan biasanya tidak mendatangkan masalah kerana tidak melibatkan sebarang bentuk ritual," ujarnya.
Menyentuh soal majlis perkahwinan, Roslizawati berkata, lebih baik jika majlis dapat diadakan di tempat neutral seperti dewan, hotel atau rumah.
"Ini bukan sahaja menjaga sensitiviti agama dan mengelakkan kekeliruan, malah memberi keselesaan kepada tetamu Muslim yang ingin hadir tanpa rasa ragu atau bimbang melanggar batas syarak.
"Namun jika majlis tetap diadakan di rumah ibadat, hukum kehadiran masih harus selagi garis panduan dipatuhi dengan tegas," katanya.
Sebagai nasihat, Roslizawati menekankan bahawa umat Islam di Malaysia telah sekian lama hidup dalam suasana toleransi yang tinggi.
Bagaimanapun katanya, toleransi itu tidak boleh sampai ke tahap mengorbankan prinsip akidah.
"Muslim perlu menguasai ilmu akidah asas dan memahami amalan agama lain agar tidak terjebak dalam ritual mereka.
"Selain itu, umat Islam juga perlu menjaga hubungan baik dengan penganut agama lain tanpa melampaui batas syarak serta menerangkan secara berhemah jika terdapat perkara yang tidak boleh dilakukan," katanya.
Hakikatnya hukum memasuki rumah ibadat agama lain bukanlah isu hitam putih. Ia dinilai berdasarkan tujuan, keadaan dan pematuhan terhadap garis syarak.
Islam meraikan hubungan kekeluargaan, menghormati kepelbagaian dan menganjurkan keharmonian, namun pada masa yang sama memperteguhkan penjagaan akidah.
"Selagi prinsip syarie dipatuhi, menghadiri majlis perkahwinan keluarga di rumah ibadat bukan Islam adalah harus dan tidak menyalahi syariat," kata Dr Roslizawati menutup bicara.
Batasan utama ketika memasuki rumah ibadat bukan Islam:
1. Tidak menyentuh atau mengambil bahagian dalam apa-apa ritual termasuk menyalakan lilin, tunduk, menyanyi atau mengikut gerakan penganut.
2. Tidak mengucap lafaz-lafaz pujian ketuhanan agama lain.
3. Memastikan mendapat keizinan sebelum masuk terutama di rumah ibadat yang memerlukan permintaan khusus.
4. Mengelak memakai pakaian yang menyerupai simbol agama lain.
5. Berani menyatakan batasan syarie jika diminta melakukan sesuatu yang bertentangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
