SETIAP kejadian yang berlaku dalam kehidupan ini pasti mempunyai hikmahnya tersendiri.
Ada kalanya ia hadir sebagai ujian, ada pula yang menjadi peringatan agar kita tidak lalai dan sentiasa mengingati tuhan.
Begitulah pengajaran yang dirasai oleh seorang penghantar makanan apabila nyaris dihempap bumbung utama sebuah hotel di ibu negara yang tiba-tiba runtuh pada Selasa lalu.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial, Akasyah Rashid, di laman Thread pada Selasa, dia menceritakan detik mencemaskan yang hampir meragut nyawanya itu ketika sedang menghantar pesanan pelanggan dari Bukit Bintang ke sebuah hotel di Kuala Lumpur.
"Gila weh, ngam-ngam aku sampai di hotel tu, bumbung pintu masuk utama.
"Mengucap panjang aku tadi. Alhamdulillah tak ada yang cedera," tulisnya dalam perkongsian yang kini tular.
Menurut Akasyah, kejadian berlaku sebaik sahaja dia tiba di simpang menuju ke lobi hotel berkenaan sebelum bumbung besar di bahagian utama itu tiba-tiba jatuh. Ketika itu, dia hanya mampu tergamam dan mengucap panjang melihat insiden berlaku betul-betul di depan matanya.
"Nasib baik pekerja situ tak ada apa-apa. Cuma tertanya juga, macam mana bumbung hotel gah macam tu boleh runtuh? Terkesima dibuatnya," katanya.
Jelasnya, walaupun bersyukur kerana terselamat, kejadian itu meninggalkan kesan trauma yang mendalam kerana ia berlaku dalam sekelip mata.
Manakan tidak, insiden itu boleh saja meragut nyawa jika dia tiba beberapa saat lebih awal.
Namun, di sebalik kejadian mendebarkan itu, Akasyah menganggapnya sebagai peringatan besar buat diri untuk terus berpegang kepada doa dan kebergantungan kepada ALLAH SWT.
Dia kemudian mengambil kesempatan berkongsi amalan doa yang menjadi rutin hariannya setiap kali sebelum keluar bekerja atau memulakan perjalanan.
Katanya, amalan itu bukan sekadar bacaan, tetapi sebagai tanda menyerahkan diri sepenuhnya kepada perlindungan Allah agar dijauhkan daripada musibah dan bahaya di jalanan.
"Setiap kali keluar rumah, aku akan baca tiga doa utama. Pertama, Bismillahi tawakkaltu alallah la haula wala quwwata illa billahil aliyyil azim.
"Kedua, doa Nabi Yunus, La ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minaz-zhalimin.
"Ketiga, ayat pendinding diri, Bismillahillazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wa la fis-sama’i wahuwas-sami’ul alim," jelasnya.
Tambah Akasyah, doa-doa tersebut bukan doa semata-mata, tetapi satu bentuk ikhtiar dan tawakal yang menjadi perisai ketika berhadapan dengan risiko serta cabaran hidup seharian.
“Korang cubalah amalkan doa yang aku kongsi ini. Percayalah, korang akan rasa keajaiban doa ini bila amal selalu. Insya-ALLAH," ujarnya.
Kejadian itu sekali gus mengingatkan umat Islam bahawa setiap detik kehidupan adalah pinjaman, dan perlindungan sebenar hanya datang daripada ALLAH SWT.
Ia juga menjadi peringatan agar setiap mukmin tidak sesekali mengabaikan doa, zikir dan tawakal dalam urusan harian walaupun sekadar keluar mencari rezeki.
Berikutan kejadian itu, ramai warganet turut menitipkan rasa syukur selain menjadikan kisahnya sebagai peringatan untuk tidak memandang ringan amalan doa dalam kehidupan seharian.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
