Kematian menghidupkan jiwa: Kisah perjuangan Cikgu E bukti ilmu terus mengalir selepas pemergiannya


  • Sukses
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Insan yang sentiasa dikenali dengan senyuman dan semangat juangnya, Cikgu E disahkan meninggal dunia.

PEMERGIAN Allahyarham Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E akibat komplikasi tiga jenis kanser baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak terutama mereka yang mengikuti perkongsiannya di media sosial.

Kisah perjuangan Cikgu E melawan kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru bukan sahaja menunjukkan ketabahan, malah menyingkap betapa besar nilai ilmu dan manfaatnya yang boleh diwariskan walau jasad telah tiada.

Sejak diuji dengan ujian kesihatan, Allahyarham Cikgu E sentiasa positif mendepani takdir hidupnya yang telah ditentukan ALLAH SWT.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah dengan senyuman', sakit kanser tahap 4 tidak halang Cikgu E sertai maraton, syukur miliki anak isteri penguat semangat

BACA LAGI: Dari bilik darjah ke dunia bisnes, bekas guru sekolah di Ipoh kembangkan bakat bina perniagaan kamera dan gajet

Rohamiah Muda beranggapan perkongsian Cikgu E tentang motivasi dan nasihat kehidupan di media sosial mudah difahami orang ramai.

Namun di sebalik kesakitan itu, ia bukan penghalang untuk Allahyarham terus berkongsi ibrah dan hikmah yang diperoleh.

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Rohamiah Muda berkata, perkongsian Cikgu E tentang motivasi dan nasihat kehidupan di media sosial mudah difahami orang ramai.

"Allahyarham menjadikan sakitnya sebagai satu bentuk sumber ilmu untuk mengajak khalayak mengimani ketentuan ALLAH SWT melalui sifat sabar dan redha ujian yang diberi.

"Malah selepas pemergiannya, status yang ditulis arwah kembali tular dan menghidupkan jiwa-jiwa yang mungkin lelah dengan mehnah duniawi.

"ALLAH sahaja yang mengetahui betapa besarnya pahala yang diraih Allahyarham asbab penulisannya yang tulus dari hati," ujar Rohamiah kepada Majoriti.

Cikgu E mengalami masalah kesihatan sejak Mac 2024. 

Beliau yang juga seorang penulis buku-buku motivasi mengakui, penulisan yang ditinggalkan Cikgu E mampu menjadi sumber pedoman yang terus hidup meskipun jasadnya sudah tiada di dunia ini.

Menurut Ustazah Rohamiah, dalam Islam konsep ilmu yang bermanfaat mempunyai kedudukan yang tinggi. 

Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW melalui hadis riwayat Muslim yang bermaksud: "Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya."

"Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ilmu yang bermanfaat bukan sahaja memberi kebaikan ketika hidup, malah menjadi amal jariah yang terus mengalir pahalanya walaupun manusia itu telah pergi. 

"Cikgu E melalui perkongsian ilmunya di media sosial, tanpa disedari telah menanam benih kebaikan yang boleh menjadi amal jariah. 

"Ilmu yang dikongsikan tentang akhlak baik, kepentingan sabar dan syukur, redha dan tawakal kepada ALLAH SWT akan terus dibaca, diamalkan dan disebarkan oleh mereka yang terkesan sekali gus menjadi cahaya yang menerangi roh arwah di alam barzakh," jelas  Rohamiah.

Tambah beliau, firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Mujadilah, ayat 11 turut mengingatkan tentang keutamaan menimba ilmu dan mengamalkannya:

“ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

"Ayat ini mengingatkan kita bahawa ilmu yang bermanfaat bukan sekadar untuk dipelajari tetapi juga untuk diamalkan dan disebarkan kepada orang lain. 

"Allahyarham Cikgu E bukan sahaja menyampaikan ilmu secara teori malah beliau mengaitkannya dengan pengalaman hidup, cabaran dan ujian yang dihadapinya termasuk perjuangannya melawan kanser. 

"Pendekatan ini menjadikan ilmu itu lebih dekat dan mudah diterima masyarakat," ujar beliau lagi.

Ibu kepada Nassry, Aisyah@ Tow Soo Hoon Abdullah juga meninggal dunia kerana kanser pada 2015.

Di samping itu, Rohamiah menegaskan, kisah pemergian Allahyarham juga menjadi pengajaran tentang hakikat kehidupan dan kematian.

Setiap manusia pasti akan menemui ajalnya, namun yang membezakan adalah bekalan amal yang ditinggalkan. 

Seperti mana pesanan terakhir Cikgu E: 

"Saya hanyalah seorang hamba yang penuh dengan kelemahan. Namun saya bersyukur, kerana sebelum ALLAH memanggil pulang, DIA masih memberi ruang untuk saya belajar tentang makna sebenar redha dan sabar.

"Kini saya belajar bahawa redha bukan bermakna berhenti berharap tetapi menerima segala ketentuan ALLAH dengan hati yang yakin bahawa setiap ujian itu adalah bentuk kasih sayang-NYA.

"Jika nanti saya pergi, saya mohon jangan tangisi pemergian saya terlalu lama. Cukuplah kirimkan doa yang baik-baik, sedekahkan Al-Fatihah dan teruskan hidup dengan kasih serta kebaikan."

Kini, perkongsian Allahyarham menjadi saksi hidup bahawa setiap ilmu yang disebarkan dengan niat ikhlas boleh memberi manfaat berterusan.

"Ilmu yang bermanfaat bukan sahaja ilmu duniawi tetapi juga ilmu agama yang mendekatkan diri kepada ALLAH, menguatkan iman dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan. 

"Cikgu E dengan segala usaha dan perkongsiannya, telah menunaikan amanah ini menjadikan setiap pengikutnya mendapat manfaat yang luas," ungkap Rohamiah.

Kepada umat Islam pula, Rohamiah mengingatkan bahawa setiap daripada kita bertanggungjawab menyebarkan ilmu tanpa perlu kepada pangkat atau kedudukan yang tinggi.

"Ilmu yang kecil jika diamalkan dan dikongsi dengan ikhlas, mampu menjadi amal jariah yang tidak terputus. 

"Misalnya perkongsian ringkas tentang doa, zikir atau pengajaran hidup yang dikongsikan di media sosial boleh dibaca oleh ribuan orang.

"Apatah lagi apabila ia disebarkan, ia dapat menjadi sumber pahala berterusan hinggalah kita berpindah ke alam barzakh sebelum menuju ke alam akhirat yang kekal abadi," kata Ustazah Rohamiah menutup bicara.

Kisah Cikgu E mengajar kita beberapa perkara penting:

- Nikmat hidup bukan pada apa yang kita miliki tetapi apa yang masih ALLAH tinggalkan untuk kita syukuri. Kesihatan, keluarga, kemampuan bernafas, semuanya boleh hilang sekelip mata.

- Ilmu yang dikongsi walau sekali tetap menjadi bekal akhirat. Arwah tidak mengajar dalam dewan besar tetapi melalui tulisan ringkas yang kini menjadi taufik kepada orang lain.

- Kematian itu pasti, tetapi cara kita meninggalkan dunia itu boleh menjadi inspirasi. Arwah menutup kehidupannya dengan kata-kata nasihat, syukur dan permohonan maaf, akhlak seorang Mukmin yang bersedia bertemu TUHANnya.

- Media sosial boleh menjadi ladang pahala. Jika kita menulis perkara kebaikan, mengajak manusia mengingati ALLAH, muhasabah diri, pahalanya terus mengalir seperti yang ditinggalkan Cikgu E. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram